fbpx

Datuk Seri didakwa tipu pengarah syarikat RM250,000

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menipu seorang pengarah syarikat membabitkan projek pembinaan jalan raya yang tidak wujud.

Tertuduh, Syed Ahamed Malik Syed Hamid, 68, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Syed Ahamed didakwa menipu Datuk Md Jailam Jeganathan Abdullah, 65, dengan memperdayakan mangsa dalam urusan mendapatkan projek yang tidak wujud iaitu Projek Pembinaan Jalan Raya `Road Surfacing Project’.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM250,000 kepada tertuduh di kawasan tempat letak kereta Masjid Negara, Jalan Perdana, di sini, pada Mac 2017.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, peguam Amir Farid Mohd Nawawi bertindak mewakili tertuduh.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Petanda Verstappen bersara?

London: Ayah Max Verstappen berkata, anaknya mungkin bersara daripada Formula Satu (F1) selepas dia berjaya ‘mencapai segalanya’ setakat ini. Pelumba Belanda itu mengharungi musim cemerlang

Read More »