fbpx

Kontraktor rugi RM40,000 ditipu sindiket pinjaman wang

KUANTAN: Seorang kontraktor kerugian RM40,000 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud pada 11 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian berlaku apabila lelaki berusia 31 tahun itu melayari satu laman web dan tertarik dengan iklan pinjaman wang.

“Mangsa kemudian menghantar mesej kepada satu nombor telefon kononnya syarikat pinjaman wang berlesen yang diperoleh dalam laman web berkenaan.

“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang ejen syarikat itu sebelum bersetuju membuat pinjaman wang RM150,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta membuat pembayaran wang duti setem kononnya untuk tujuan proses pinjaman sebelum kontraktor itu memasukkan wang seperti diminta.

Katanya, mangsa kemudian dihubungi seorang lagi suspek mendakwa pendapatan mangsa tidak mencukupi dan perlu membayar jika mahu pinjaman berkenaan diluluskan.

“Mangsa yang tidak mensyaki apa-apa kemudian mengikut arahan diberikan suspek dan membuat pelbagai bayaran menjadikan jumlah keseluruhan wang dipindahkan berjumlah RM40,000,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula curiga selepas pinjaman yang dimohon gagal diluluskan syarikat itu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Beliau berkata, siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh didenda.

Difahamkan, mangsa menggunakan duit simpanannya dan meminjam wang daripada keluarga serta rakannya untuk membayar wang memproses permohonan pinjamannya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts