fbpx

20 lagi terbunuh di Myanmar

Foto: SkyNews

YANGON: Masyarakat antarabangsa merayu junta tentera Myanmar menghentikan keganasan selepas sekurang-kurangnya 20 lagi lagi penunjuk perasaan terbunuh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat (AS), China dan Britain mengutuk keganasan yang berlaku.

Menurut PBB, seramai 138 penunjuk perasaan terbunuh setakat ini termasuk wanita dan kanak-kanak, sejak rampasan kuasa dan penahanan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, 1 Februari lalu.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Jalina Porter, menyifatkan serangan terbaru itu sebagai satu lagi tindakan ganas tentera terhadap orang awam yang mengadakan protes secara aman.

“Junta membalas desakan supaya demokrasi dikembalikan dengan peluru, AS akan terus meminta semua negara mengambil tindakan tegas membantah rampasan kuasa dan keganasan yang meningkat,” katanya.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, turut menggesa solidariti masyarakat antarabangsa dengan rakyat Myanmar dan aspirasi demokrasi mereka, menurut jurucakapnya, Stephane Dujarric.

Utusan Khas PBB ke Myanmar Christine Schraner Burgener, turut mengutuk serangan terbaru itu manakala Britain terkejut dengan tindakan keras junta ke atas penunjuk perasaan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian menyifatkan keganasan yang berlaku sebagai tindakan jahat.

“China amat bimbang dengan keselamatan kakitangan dan institusi kami yang di Myanmar,” katanya.

Beberapa premis perniagaan milik warga China dan rakyat negara itu diserang penunjuk perasaan di Myanmar kerana mendakwa kerajaan China menyokong junta tentera.

Taiwan pula menasihatkan semua syarikatnya di Myanmar supaya mengibarkan bendera negara itu bagi mengelak mereka tersilap menjadi sasaran. – AFP

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts