fbpx

BoBoiBoy sudah 10 tahun

KUALA LUMPUR: Diam tak diam, siri animasi adiwira popular, BoBoiboy meraikan ulang tahun ke-10, Sabtu lalu.

Sejak 2011, produk animasi keluaran anak tempatan itu mula menggamatkan TV3. Sejak itu, BoBoiBoy mengumpul pengikut tersendiri terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Sempena ulang tahun ke-10 siri animasi terbitan Monsta, episod khas BoBoiboy yang berdurasi 30 minit bakal disiarkan TV3 pada cuti sekolah yang bermula 27 Mac depan.

Ketua Pemasaran & Jualan Antarabangsa Monsta, Faiz Zainal, berkata, tayangan episod khas itu cukup istimewa kerana ia adalah versi tambahan kepada episod satu musim pertama BoBoiBoy.

“Episod ini memaparkan babak yang belum pernah lagi ditayangkan di televisyen (TV), iaitu adegan BoBoiBoy bersama ayahnya, Amato (Mechamato).

“Peminat tegar BoBoiBoy tidak seharusnya melepaskan peluang itu untuk menyaksikannya,” katanya.

Perjalanan selama sedekad itu bukan saja cukup istimewa kepada penggemar siri animasi terkenal itu, malah amat bermakna kepada Media Prima Berhad dan TV3.

Ini kerana BoBoiBoy menjadi siri animasi 3D tempatan pertama berjaya mencecah jutaan tontonan di TV hingga membuka lembaran baharu buat industri animasi tanah air.

Siri animasi adiwira popular, BoBoiBoy menjadi kebanggaan negara apabila berjaya menembusi lebih 70 negara seluruh dunia. - Foto Monsta
Siri animasi adiwira popular, BoBoiBoy menjadi kebanggaan negara apabila berjaya menembusi lebih 70 negara seluruh dunia. – Foto Monsta

Faiz berkata, kerjasama antara TV3 dan Monsta yang utuh selama 10 tahun mencetuskan fenomena ‘Terbaik Raya’ pada 2012.

Sementara itu, BoBoiBoy juga menjadi kebanggaan negara apabila berjaya menembusi lebih 70 negara seperti India, China, Korea Selatan, Turki, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

“Pelbagai pengiktirafan berjaya diraih BoBoiBoy sepanjang tempoh itu dan meletakkan nama negara di persada antarabangsa dalam penghasilan siri dan filem animasi 3D bertaraf dunia,” katanya.

Faiz berkata, pihaknya memperkenalkan tanda pagar #BoBoiBoyBeyond10 sebagai kata kunci untuk ulang tahun ini.

“Kami berharap siri animasi BoBoiboy akan terus mencipta nama biarpun selepas sedekad bertapak dalam industri animasi tempatan,” katanya.

Pelbagai program serta acara menarik dan barangan keluaran terbaru diatur Monsta bagi meraikan ulang tahun ke-10 BoBoiBoy.

Pengumuman menarik mengenai aktiviti sepanjang tahun itu bakal dibuat kelak, sekali gus menandakan pengembaraan BoBoiBoy belum berakhir.

 

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts