fbpx

Ditipu secara dalam talian, pesara guru rugi RM38,000

JEMPOL: Seorang pesara guru kerugian RM38,000 selepas dua kali menjadi mangsa penipuan secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata mangsa yang berusia 66 tahun pada awalnya berkenalan dengan seorang lelaki dikenali Micheal Tan pada Julai tahun lalu dan hanya berhubung melalui Facebook Messenger saja.

Katanya, berikutan mempercayai hubungan secara maya itu, mangsa kemudian membantu suspek yang mengalami masalah kewangan dan memasukkan RM11,000 melalui akaun bank berbeza.

“Mangsa yang menyedari dirinya ditipu akhirnya memutuskan hubungan dengan suspek.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian dihubungi seseorang mendakwa daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI ) pada Disember tahun lalu yang memaklumkan boleh membantu menyelesaikan masalah penipuan dilakukan Micheal Tan.

“Terpedaya dengan tawaran kononnya dibuat FBI itu, mangsa bersetuju membuat pembayaran perkhidmatan diberikan,” katanya di sini, hari ini.

Chang Hook berkata, mangsa tersedar menjadi mangsa penipuan kali kedua selepas memasukkan wang RM27,000 ke dalam akaun berbeza secara berperingkat selepas diminta berbuat demikian.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bahau pada jam 3.30 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts