fbpx

Hamilton dedah rahsia kejayaan dalam F1

Foto: The Irish Sun

LONDON: Lewis Hamilton mendedahkan rahsia di sebalik kejayaannya dalam Formula Satu (F1) adalah kerana berdamping dengan orang-orang pintar di sekelilingnya.

Juara dunia tujuh kali dari Britain itu berkata dia tidak takut untuk bertanya soalan `bodoh’ dalam membantu jurutera-jurutera Mercedes membina jentera terbaik buatnya, yang kemudian akan dikajinya dengan terperinci.

Sebaik berada dalam kokpit, dia memberi fokus dalam membuat keputusan yang menentukan hidup atau matinya dalam perlumbaan yang mencecah kelajuan 320 kilometer sejam.

Hamilton, 36, dalam pemburuan memecahkan rekod untuk mahkota kelapannya tahun ini dan menjadi pemandu F1 terulung dalam sejarah – walaupun terdapat beberapa masalah ketika sesi ujian dengan jentera baharu Mercedes W12.

“Dinamik pasukan adalah kunci kepada kemenangan. Bayangkan 2,000 orang dalam sebuah bot dayung.

“Jika seorang mendayung dalam arah bertentangan, ia akan memperlahankan anda.

“Jadi memastikan semua orang mendayung dalam arah sama amat membantu. Saya sentiasa menilai bagaimana saya memberi perangsang kepada mereka di sekeliling saya untuk meningkatkan persembahan kami.

“Anda perlu mempunyai bakat – tetapi anda perlu menyesuaikan diri dengan situasi berbeza dan tekanan di sekeliling anda.

“Saya memastikan saya bekerja dengan mereka yang jauh lebih bijak daripada saya dan membuat mereka mengajar saya saban tahun.

“Jika saya tidak faham sesuatu yang mudah dan ia kedengaran seperti soalan bodoh kerana saya tidak faham, saya tidak peduli,” kata Hamilton.

Rutin itu dilakukan Hamilton sepanjang karier gemilangnya yang menyaksikan dia memenangi 95 grand prix, 98 petak utama, 165 penamat podium dan 3,778 mata daripada 266 perlumbaan.

Hamilton berpeluang memperbaiki statistiknya itu apabila musim baharu menyingkap tirainya di Bahrain Ahad ini.

– AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts