fbpx

Marquez tak sertai GP Qatar

DOHA: Juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez tidak beraksi pada pusingan pembuka tirai Grand Prix (GP) Qatar, umum penganjur dalam usahanya meneruskan proses pemulihan selepas menjalani pembedahan.

Marquez mengalami kecederaan patah di lengan kanannya selepas terjatuh ketika pusingan pertama 19 Julai tahun lalu.

Kecederaan itu memaksanya menjalani pembedahan sebanyak tiga kali, dengan kali terakhir Disember tahun lalu.

Dia kembali menjalani latihan bermula Februari lalu dan menyatakan segala-galanya tampak positif namun tidak meletakkan masa bila akan kembali semula.

Pasukan Marquez enggan terburu-buru membenarkan pelumba itu kembali beraksi.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pasukan perubatan, doktor menasihatkan saya untuk tidak mengambil bahagian di Grand Prix Qatar dan meneruskan proses pemulihan yang sudah diikuti sejak beberapa minggu lalu,” kata Marquez dalam satu kenyataan.

“Saya sememangnya mahu berlumba pada saingan pembuka tirai Kejohanan Dunia tetapi kami perlu terus berusaha melalui proses pemulihan yang optimum bagi membolehkan saya kembali beraksi.”

Marquez yang terpaksa menyerahkan takhta kejuaraan dunia kepada rakan senegara Joan Mir musim lalu, sudah menyatakan dia bukanlah pencabar utama tahun ini.

Qatar yang akan menganjurkan dua pusingan pertama MotoGP bermula hujung minggu ini, menawarkan suntikan vaksin Covid-19 kepada semua yang terbabit di paddock.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts