fbpx

3 pekerja warga China layak terima faedah Perkeso

Kejadian kren ‘launcher’ tumbang yang meragut dua nyawa, hari ini. - Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Tiga pekerja warga China yang maut dalam kejadian komponen kren gantri jatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dekat Persiaran Alam Damai, kelmarin, layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pekerja asing boleh menerima bayaran faedah di bawah Skim Bencana Kerja Pekerja Asing (SBKPA) jika majikannya mencarum.

“Apabila berlaku kemalangan di tempat kerja atau ketika dalam perjalanan pulang, maka mereka akan dapat bayaran faedah di bawah skim bencana. Jika meninggal dunia waris akan menerima bayaran faedah itu.

“Bagi kes tiga pekerja asing yang meninggal dunia itu, Perkeso sedang kenal pasti mangsa dan waris untuk kita buat bayaran berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Mini Karnival Penjana Kerjaya Kementerian Sumber Manusia Untuk OKU di Wisma Perkeso di sini, hari ini.

Sejak 1 Januari 2020, majikan di negara ini diwajibkan mendaftarkan pekerja asing di bawah SBKPA yang diperkenalkan Perkeso.

Skim itu memberi perlindungan kepada pekerja asing yang mengalami kemalangan atau penyakit berpunca daripada pekerjaan.

Mengulas lanjut, Dr Mohammed Azman berkata, pihaknya mempunyai Skuad Perkeso Prihatin yang akan segera bertindak mengenal pasti mangsa atau waris apabila berlaku kemalangan bagi mendapatkan maklumat seterusnya menyerahkan bantuan.

“Sebagai contoh, dua kes sebelum ni (van kilang dihempap runtuhan perancah besi pembinaan SUKE), kita sudah bayar faedah orang tanggungan kepada ibu salah seorang mangsa,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, identiti tiga mangsa warga China yang maut dikenal pasti sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.

Dalam insiden jam 8.45 pagi kelmarin, lima buruh asing dan seorang lelaki warga tempatan terbabit dalam kejadian berkenaan.

Dua buruh asing maut terjatuh dari ketinggian 40 meter manakala seorang yang terhimpit di antara struktur besi akibat komponen kren gantri jatuh berjaya dikeluarkan pasukan bomba pagi tadi.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts