fbpx

4 sekeluarga maut kereta tembung treler

KEMALANGAN empat sekeluarga di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub, awal pagi tadi. - Foto PDRM

KUANTAN: Empat sekeluarga, termasuk dua kanak-kanak, maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung sebuah treler mengangkut kenderaan di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub, kira-kira 195 kilometer dari sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata dalam nahas jam 4.10 pagi itu, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kereta jenis Perodua Myvi terbabit, Marlianna Abdul Muid, 37, dan adiknya Marlia, 36, akibat tersepit serta mengalami kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata, dua mangsa kanak-kanak dikenali sebagai Muhammad Aisy Harraz Aziz, 7, dan anak Marlia, Muhammad Faizz Aryan Mohd Faizuddin, 9, yang berada di bahagian penumpang belakang kereta itu pula disahkan meninggal dunia di Hospital Bentong, kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Kesemua mangsa beralamat di Banting, Selangor.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Marlianna dari arah Kota Bharu, Kelantan, ke Selangor cuba memotong kenderaan di hadapannya tetapi tidak berjaya sebelum bertembung treler dari arah bertentangan.

“Pertembungan itu mengakibatkan pemandu dan penumpang hadapan tersepit dan kereta mangsa remuk di bahagian hadapan, menyebabkan bantuan bomba diperlukan bagi mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Namun, Kamarulzaman berkata, pemandu treler yang berusia 42 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun bahagian hadapan kenderaannya turut rosak.

Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts