fbpx

Aliff Haiqal tekad terus perkuat Selangor FC

KUALA LUMPUR: Agenda pemerkasaan ‘ubi muda’ berpotensi jelas menjadi fokus Selangor FC (SFC) selepas muncul antara pasukan yang menyenaraikan pemain berusia 23 tahun (B-23) paling ramai dalam skuad utama.

Dari sembilan pemain muda terbabit, tujuh daripadanya adalah muka baharu yang dinaikkan daripada skuad pembangunan, Selangor II ke pasukan utama sejak Disember tahun lalu bagi mengharungi saingan liga musim ini.

Tujuh pemain terbabit adalah penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana musim lalu, Danial Asri selain Aliff Haiqal Lau, Mukhairi Ajmal, Jordan Ayimbila, Sharul Nazeem, Ahmad Zikri dan Sikh Izhan dengan semua pemain ini berusia dalam lingkungan 19 hingga 21 tahun.

Aliff Haiqal menjadi salah seorang pemain muda yang diberi kepercayaan oleh pengendali The Red Giants, Karsten Neitzel apabila beraksi dalam semua lima perlawanan Liga Super setakat ini.

Dia menghimpun 258 minit permainan dan tersenarai dalam kesebelasan utama untuk dua perlawanan selain merekodkan satu hantaran gol ketika membantu SFC membenam Sri Pahang FC 3-1.

Pemain berusia 21 tahun itu mengakui peluang yang diberikan Neitzel banyak membantu dia meningkatkan lagi permainannya sekali gus bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Peluang itu adalah sangat positif untuk diri saya terutamanya apabila jurulatih Neitzel percaya dengan kebolehan saya dan memberikan peluang untuk beraksi bersama pemain senior pada musim ini.

“Daripada lima perlawanan terbabit, banyak benda yang saya dapat belajar dan matlamat saya masih sama iaitu akan sentiasa berusaha untuk beraksi dengan 110 peratus setiap kali diturunkan.

“Saya akan tingkatkan usaha untuk jadi pemain yang lebih baik demi kebaikan diri sendiri dan juga pasukan. Saya juga berharap rakan sepasukan serta pihak pengurusan terus kekal positif dan berusaha mencapai objektif SFC,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts