fbpx

PGA rampas cecair vape RM550,00

Antara 22 kotak cecair vape ditemui anggota PGA 9 dipercayai untuk diseludup ke Thailand. - Foto ihsan PGA 9

RANTAU PANJANG: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 5,500 botol cecair vape bernilai RM550,000 yang disembunyikan dalam semak di Kampung Degong, Telaga Mas, Lubok Stol, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superitenden Nor Azizan Yusof, berkata hasil maklumat awam, pada jam 12.30 tengah malam, anggota bertugas menemui 22 kotak berisi cecair vape berkenaan.

Katanya, anggota kemudian menjalankan operasi pencarian pemilik cecair vape di sekitar kampung itu, namun tidak menemuinya selain tiada individu yang datang menuntut.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kesemua botol terbabit bertulis Funta Grape E-Juice dengan isipadu 50 mililiter (ml) setiap botol, dipercayai untuk diseludup ke Thailand, melalui pangkalan haram dan lorong tikus yang ada di sepanjang Sungai Golok.

“Kita percaya semak berkenaan dijadikan sebagai tempat transit sebelum mereka seludup kesemua cecair vape ini sebaik melihat keadaan terkawal dan bebas daripada pihak berkuasa.

“Anggota merampas kesemua barangan terbabit untuk dibawa ke Balai Polis Lubok Stol, bagi tujuan tindakan dan siasatan lanjut sebelum diserah kepada Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Azizan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.

“Tindakan menyeludup cecair vape ke Thailand kerana ia mendapat permintaan tinggi di negara itu selain nilainya yang lebih mahal berbanding di Malaysia.

“Kita juga difahamkan, Thailand adalah sebuah negara yang mengharamkan penggunaan vape di negaranya, justeru mereka juga memilih cara menyeludup masuk secara haram untuk mendapatkan bekalan.

“Kawalan sempadan terus diperketatkan, malahan modus operandi yang diguna penyeludup juga sering berubah bertujuan mengelirukan pihak berkuasa, namun PGA9 terus komited menjalankan tugas untuk menangani kegiatan mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts