fbpx

Kelantan tak patut dedah notis tuntutan pemain

IZHAM ISMAIL

PETALING JAYA: Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menyifatkan tindakan Kelantan FC mendedahkan notis tuntutan pemain di media adalah kurang profesional.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail turut menasihati pemain agar menghormati proses aduan dan tidak membuat sebarang kenyataan terbuka berhubung perkara itu.

“Menguar-uarkan isu ini de­ngan mendedahkan notis tuntutan di media ketika ia masih di peringkat surat menyurat antara kedua-dua pihak tindakan kurang profesional.

“Perkara ini telah didedahkan oleh pasukan yang akhirnya mengundang persepsi negatif daripada netizen menerusi komen-komen yang dinyatakan dalam media sosial, di mana ia sepatutnya diuruskan dengan membalas notis tuntutan kami secara rasmi.

“Sekiranya masih tiada persetujuan dicapai, kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan kes ke peringkat Jawatankuasa Status FAM,” katanya semalam.

Lima pemain yang membuat tuntutan menerusi PFAM ialah Nazrin Nawi, Mohd. Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Masaki Watanabe.

Sebelum ini, Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham berkata, tuntutan dibuat lima pemain itu disifatkan tidak adil kepada rakan-rakan sepasukan lain yang telah bersetuju dengan pemotongan sebanyak 50 peratus.

Dalam pada itu, Izham me­negaskan alasan Kelantan enggan membayar gaji pemain secara penuh bagi November 2020 tidak memberi justifikasi untuk pasukan dikecualikan daripada tanggungjawab mereka mengikut kontrak antara pasukan dan pemain.

“PFAM tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya pemotongan gaji tersebut adalah pemotongan yang dibenarkan dan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan di dalam kontrak.

“Namun begitu, jika pemotongan tidak berlandaskan kepada ketetapan kontrak antara dua pihak, PFAM berpendapat adalah tidak wajar untuk pihak TRW berbuat demikian.

“Jika pandemik Covid-19 diambil kira, PFAM ingin menekankan akan perlunya pihak pasukan mengikut Garis Panduan Penyelarasan Gaji yang dikeluarkan oleh FAM, di mana pasukan perlu membayar secara penuh kepada pemain apabila liga kembali bersambung.

“Pemain juga tidak boleh dijadikan mangsa berhubung jumlah perlawanan November 2020 yang dilalui pasukan kerana ia bukanlah berada di dalam kapasiti para pemain untuk menentukan jumlah perlawanan sesuatu pasukan,” katanya.

Sumber: Utusan Online

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts