fbpx

Basikal Azizulhasni, Shah Firdaus dalam pembikinan

KUALA LUMPUR: Basikal yang digunakan pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom masih belum ‘siap’ sepenuhnya dan dijadual lengkap sepenuhnya pada saingan Sukan Olimpik Tokyo nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata basikal model WX-R Vorteq itu yang digunakan kedua-dua pelumba berkenaan masih dalam proses pelarasan mengikut kesesuaian fizikal atlet berkenaan menjelang saingan Olimpik kurang lima bulan lagi.

“Projek basikal Olimpik ini sudah memasuki tahun keempat sejak ia mula dilakukan pada 2017,” kata Ahmad Faedzal. “Asasnya adalah untuk melihat kepada R&D (penyelidikan dan pembangunan) basikal dan juga aspek fizikal atlet berkenaan.

“Selepas itu, kita bangunkan basikal rekaan khas ini untuk Azizul dan Shah dan kemudian basikal ini juga sudah disahkan oleh UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) pada awal 2020 tetapi disebabkan penangguhan Olimpik, maka kita terpaksa mengikut proses yang ada.

“Basikal ini sudah digunakan tetapi masih ada penambaikan yang perlu dibuat dan ia akan dilancarkan untuk kegunaan di Olimpik nanti.”

Pada Mac tahun lalu, ISN dalam satu majlis mendedahkan mengenai basikal berkenaan yang diperbuat daripada bahan karbon fiber lebih keras tetapi ringan dengan menggunakan teknologi aerodinamik bagi memastikan rintangan angin lebih rendah.

Basikal berkenaan dihasilkan menerusi projek R&D bernilai RM13 juta antara ISN dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd, yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan aerodinamik.

Berdasarkan syarat UCI, jentera yang digunakan bagi Sukan Olimpik perlu berada di pasaran, dan basikal model WX-R Vorteq itu sudah berada di pasaran sejak 1 Januari lalu dengan sebuah basikal berharga RM300,000.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil Zonis juga disediakan jentera sama.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts