fbpx

i-Sinar beri impak positif segera kepada ekonomi

KUALA LUMPUR: Kemudahan pengeluaran i-Sinar di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberikan impak segera yang positif kepada ekonomi dan memberikan sokongan dari segi kepenggunaan.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata usaha bagaimanapun perlu diperkukuhkan untuk membangunkan penampan memandangkan simpanan persaraan sudah digunakan.

Justeru, katanya, penstrukturan semula pasaran buruh penting bagi memastikan rakyat mempunyai pekerjaan yang lebih baik dengan gaji lebih tinggi dan membangunkan penampan menerusi simpanan untuk persaraan.

“Pembaharuan perlindungan sosial juga penting terutama dalam insurans sosial dan skim persaraan swasta, dengan membangunkan manfaat persaraan menuju ke depan,” katanya pada Forum Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) mengenai Laporan Tahunan 2020 BNM, hari ini.

Dari segi impak pengeluaran i-Sinar kepada pasaran kewangan, Abdul Rasheed menjelaskan, setakat ini, pelarasan dalam pasaran bon adalah teratur.

Beliau berkata, BNM sentiasa memantau potensi impak pembalikan susulan gangguan dalam pasaran dengan memastikan tahap kecairan mencukupi.

Sementara itu, beliau berkata, risiko terhadap kestabilan kewangan masih terkawal meskipun nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 93.3 peratus setakat Disember 2020.

Katanya, penerimaan sistem kewangan terhadap nisbah hutang masih baik iaitu 2.2 kali, yang bermakna, keupayaan untuk menyokong hutang masih ada dan tidak menjadi isu.

“Peningkatan hutang isi rumah sememangnya membimbangkan, tetapi dari segi risiko terhadap kestabilan kewangan masih terkawal,” katanya.

Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2020 yang dikeluarkan BNM menunjukkan nisbah hutang isi rumah kepada KDNK meningkat ke paras tertinggi baharu sebanyak 93.3 peratus setakat Disember 2020 berbanding paras rekod tinggi 87.5 peratus pada Jun 2020.

Bank pusat itu menjelaskan, peningkatan berkenaan berlaku disebabkan oleh normalisasi pertumbuhan hutang isi ke paras pra-pandemik pada separuh kedua 2020, namun KDNK kekal di bawah paras pra-pandemik COVID-19.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts