fbpx

Tuntutan palsu, pegawai kanan TLDM direman

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai kanan Bahagian Logistik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan reman enam hari mulai hari ini hingga 13 April bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM24,250.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nur Izzaty Muhammad Zahari di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan pegawai berusia 36 tahun kerana dipercayai membuat tuntutan palsu.

Suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor pada jam 10 pagi semalam bagi membantu siasatan kes bersubahat dan memperakukan pesanan kerajaan seterusnya mengemukakan tuntutan palsu.

Ia berkaitan perkhidmatan mencetak beg kertas dan perkhidmatan mencetak kain rentang kepada Markas KD Sultan Ismail, Pusat Latihan Perajurit Muda TLDM Tanjung Pengelih Mukim Pengerang, Kota Tinggi, yang berjumlah RM24,250 sedangkan pembekalan berkenaan tidak pernah dibuat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts