“TANPA Mirwana, tiadalah Faizal Tahir.” Demikian luah penyanyi terkenal Faizal Tahir tentang penyatuan semula kumpulan Mirwana menerusi projek lagu Aku Tanpa CintaMu 2021.
“Saya cuma mahu mengembalikan semula nostalgia dan ini adalah satu penghargaan buat mereka,” ujarnya.
Umum tahu, Faizal mengundur diri daripada kumpulan itu pada 2005. Mirwana ketika itu ditunjangi empat ahli iaitu Hafiz, Izzat, Akmal dan Along.
Sebelum mara dengan langkah solo, Faizal atau nama lengkapnya Ahmad Faizal Mohd. Tahir, 43, terlebih dahulu menyertai sebuah pertandingan nyanyian realiti. Bermula dari situ, namanya semakin mekar sehingga mencipta nama selaku komposer dan penerbit muzik.
Sementara Mirwana pula tetap meneruskan perjalanan seni mereka dan bergiat aktif dalam arena nasyid bersama beberapa anggota baharu.
Selepas 16 tahun, Faizal dan Mirwana kembali mengadakan pertemuan semula menerusi lagu popular mereka berjudul Aku Tanpa CintaMu untuk versi 2021.
Lagu berkenaan pernah membawa tuah kepada kumpulan itu dan penyanyi Jay Jay apabila diangkat sebagai Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2005.
“Saya tahu ramai yang bertanya dan mahu kami bekerjasama semula. Saya dan Mirwana sebenarnya sudah berbincang sejak beberapa tahun lepas lagi, cuma tunggu masa yang sesuai sahaja untuk merealisasikannya.
“Jadi, sekarang saya fikir adalah waktu yang terbaik untuk mengeluarkan lagu ini,” ujar Faizal mengenai penyatuan semula mereka.
Sementara itu, bagi mewakili Mirwana, Hafiz menyifatkan asas paling penting dalam hidup ialah ukhwah, keluarga dan sahabat yang diharapkan akan mengeratkan hubungan.
“Sejak kebelakangan ini, kami melihat pelbagai usaha yang dilakukan penggiat seni untuk mengangkat semula genre nasyid dalam industri. Kami juga tidak mahu ketinggalan melakukan hal sama.
“Jadi, tahun 2021 adalah masa yang tepat untuk kami kembalikan sebuah lagu nostalgia yang telah disuntik dengan nafas baharu,” katanya.
Haluan berbeza
Ketika berbicara tentang pengunduran Faizal daripada Mirwana lebih sedekad lalu, Hafiz menyifatkannya sebagai satu keputusan tepat yang dibuat penyanyi itu sementelah mereka mempunyai hala tuju muzik, cara dan matlamat yang berbeza.
Jelas Hafiz, impian dan hasrat Faizal untuk mempertaruhkan identiti muziknya sendiri telah pun berhasil, namun sebaliknya berlaku sekiranya dia masih bersama Mirwana.
Menerusi projek Aku Tanpa CintaMu 2021, semua ahli baharu Mirwana iaitu Naim, Faiz dan Ikram turut bersama-sama menjayakan video muzik yang mengangkat tema isu penderaan kanak-kanak.
“Isu penderaan adalah satu gejala dan tragedi yang mesti diberi perhatian serius oleh semua. Mudah-mudahan menjadi asbab hidayah Allah agar menyentuh hati dan jiwa masyarakat,” kata Hafiz lagi.
Lagu Aku Tanpa CintaMu merupakan karya sepenuhnya Mujahid Abdul Wahab, manakala susunan muzik versi 2021 pula digubah oleh Adib Hussin dan Faizal sendiri.
Baik Faizal mahupun Mirwana, mereka mengharapkan kehadiran lagu tersebut dapat mengubat kerinduan peminat.
Lagu Aku Tanpa CintaMu 2021 diterbitkan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia yang bertindak selaku pengedar dan tersedia dalam semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox sejak 9 April lalu.
Sementara video muzik rasmi pula dilancarkan pada 12 April menerusi saluran YouTube Faizal Tahir.
Bukan itu sahaja, lagu berkenaan juga dimuatkan dalam koleksi audio Qibla yang baru dilancarkan Faizal bersama syarikat rakamannya, Faithful Music.
Malah, Faizal turut memuatkan rakaman semula lagu Ceria Aidilfitri dan sebuah single baharu berjudul Syahadah bersama dengan 10 klip audio tadabbur yang dibaca oleh dirinya sendiri.
Sumber: Kosmo!