fbpx

Kawal tekanan darah elak terdedah jangkitan Covid-19

Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menyarankan supaya rakyat di negara ini mengawal tekanan darah khususnya bagi mengelak terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mendapati, pesakit-pesakit yang mempunyai komorbiditi seperti hipertensi atau tekanan darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung adalah lebih terdedah mendapat kesan yang lebih mudarat sekiranya dijangkiti penyakit Covid-19.

Beliau berkata, analisis kepada data pesakit kritikal yang dilaporkan kepada Pasukan Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mendapati 58.3 peratus pesakit yang dirujuk kepada rawatan kritikal mempunyai sejarah penyakit hipertensi.

Malah katanya, hampir separuh atau 49.4 peratus daripada kes yang dirujuk itu memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Selain itu, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan bahawa prevalen hipertensi dalam kalangan penduduk Malaysia dewasa berumur 18 tahun dan ke atas adalah 30 peratus atau kira-kira 6.4 juta orang dewasa. 

“Ia amat membimbangkan memandangkan 50 peratus daripadanya tidak mengetahui diri mereka menghidap penyakit hipertensi,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sempena Hari Hipertensi Sedunia yang disambut hari ini dengan tema Tekanan Darah Terkawal, Hidup Lebih Sejahtera.

Katanya, hipertensi adalah penyumbang utama kepada penyakit kardiovaskular, strok, kegagalan buah pinggang dan seterusnya kematian pramatang di seluruh dunia.

Noor Hisham berkata, ia juga dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana ia sering tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala dan ramai yang masih tidak menyedari mereka menghidapi hipertensi.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sempena Hari Hipertensi Sedunia tahun ini, beliau ingin menyarankan kepada seluruh rakyat Malaysia agar mengambil langkah-langkah perlu bagi mengawal hipertensi.

“Ia termasuk mengawal berat badan, hadkan pengambilan garam, elakkan alkohol, menangani tekanan dengan baik, sentiasa lakukan aktiviti fizikal, tidak merokok dan kerap memeriksa tekanan darah.

“Semoga langkah-langkah ini mampu mengubah tingkah laku rakyat Malaysia sekali gus mencegah dan mengawal penyakit hipertensi. Ia seterusnya dapat mengurangkan risiko kematian pramatang akibat penyakit jantung dan strok di kalangan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Sumber: UTUSAN

 

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts