fbpx

PKPD: Penduduk dibenar keluar beli barang

KUALA PILAH – Tidak seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini, PKPD di tiga kawasan perumahan di Mukim Juasseh, dekat sini, sedikit berbeza apabila penduduk yang tidak memakai gelang pink diberi kelonggaran untuk keluar membeli barangan keperluan.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap bagaimanapun berkata, hanya seorang daripada isi rumah (yang tidak memakai gelang pink) dibenarkan membeli keperluan di kedai yang berada dalam kawasan PKPD sahaja.

“Selain itu, rumah yang terkesan dan menjalani kuarantin akan diberikan bantuan makanan seperti dibekalkan barang basah dan kering masing-masing sebanyak tiga ke empat kali sehari,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan PKPD di sini, malam tadi.

Menurutnya, PKPD yang berkuat kuasa hari ini membabitkan 2,125 penduduk di tiga kawasan perumahan iaitu Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh dan Taman Sri Juasseh.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan melaksanakan ujian saringan kepada penduduk secara bersasar bermula hari ini dengan keutamaan diberikan kepada golongan berisiko tinggi, pesakit yang mempunyai penyakit kronik, warga emas dan Orang Kurang Upaya.

Semalam, anggota yang tinggal di kawasan berkenaan dan bekerja di sektor kritikal termasuk pekerja di klinik kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan polis disaring terlebih dahulu bagi membolehkan mereka keluar untuk bekerja.

Mengulas lanjut, beliau berkata, punca penularan jangkitan di kawasan berkenaan antaranya disebabkan aktiviti menziarahi rakan yang positif Covid-19 di Jempol, peningkatan kes import yang menyebabkan penularan tempatan dan aktiviti kunjung-mengunjung semasa Aidilfitri.

Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Roslin Hisham Abd Hamid berkata, PKPD berkenaan dilaksanakan bagi memastikan tiada sebarang pergerakan masuk ke kawasan tersebut sekali gus memudahkan saringan bersasar dilakukan ke atas penduduk.

Jelasnya, pihak MKN akan memantau dan meneliti pelaksanaan PKPD bersama pihak jawatankuasa bencana daerah selain mengenal pasti sama ada pelaksanaan PKPD itu perlu dilanjutkan atau ditamatkan lebih awal.

Pada 29 Mei lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, PKPD di mukim itu dilaksanakan selama 14 hari hingga 13 Jun susulan pertambahan kes Covid-19 dalam tempoh singkat direkodkan di kawasan itu.

Sumber: Metro
Gambar: kosmo.com.my

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts