fbpx

Keputusan SPM 2020 Sabah terbaik dalam tempoh 4 tahun

KOTA KINABALU – Pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang direkodkan di Sabah adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun.

Gred Purata Negeri (GPN) bagi SPM 2020 adalah 5.34 berbading 5.38 pada 2019. 

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Dr. Mistirine Radin berkata, berdasarkan GPN SPM yang direkodkan itu ia menunjukkan keputusan SPM kali ini adalah yang terbaik sejak SPM 2017.

Beliau berkata, daripada 33,454 orang calon yang mengambil SPM di negeri itu, calon yang layak mendapat sijil dengan sekurang-kurangnya gred E dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah adalah seramai 90.42 peratus.

Terdapat peningkatan sebanyak 2.63 peratus berbanding bilangan calon yang layak mendapat sijil pada SPM 2019 iaitu hanya 87.79 peratus daripada 33,541 orang calon.

Mistirine berkata, sebanyak 11 daripada 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mencatatkan Gred Purata Daerah (GPD) yang melepasi pencapaian GPN.

Jurang perbezaan pencapaian sekolah bandar dan luar bandar di Sabah juga semakin mengecil iaitu hanya 0.53 peratus berbanding 1.34 peratus pada 2019.

“Sebanyak 211 sekolah terlibat dalam peperiksaan SPM kali ini. Daripada jumlah itu, 60 sekolah di bandar dengan pencapaian lulus sebanyak 91.12 peratus manakala 151 buah sekolah di luar bandar mencapai kadar lulus sebanyak 90.59 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Calon yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran pula adalah seramai 241 orang berbanding 198 orang semasa SPM 2019.

Dari segi peningkatan keputusan mengikut mata pelajaran pula, lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sains, Pendidikan Moral dan Sejarah menunjukkan peningkatan dalam Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP). 

Untuk GPMP Bahasa Melayu menunjukkan penurunan dan GPMP Matematik pula kekal.

Sementara itu, 21 mata pelajaran elektif menunjukkan peningkatan GPMP dan 29 mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan.

Sumber: Utusan
Gambar: borneotoday.net

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts