fbpx

Dakwaan saya cuba jadi PM adalah palsu, tidak bertanggungjawab – Hishammuddin


KUALA LUMPUR:
 Tindakan sesetengah pihak yang menularkan sepucuk surat kononnya Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri seterusnya, adalah perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, seperti yang dinyatakan oleh unit komunikasi beliau, surat itu adalah palsu dan tidak benar.

Tegasnya lagi, satu laporan polis akan dibuat hari ini bagi mengenal pasti dalang sebenar di sebalik tindakan itu.

Pada Rabu, sepucuk surat tersebar di media sosial mendakwa Hishammuddin mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menawarkan diri sebagai sebagai Perdana Menteri adalah palsu.

Menerusi satu ciapan di Twitter, unit komunikasi Hishammuddin menjelaskan surat tersebut berunsur fitnah dan bertujuan mengelirukan pandangan umum.

“Surat yang tersebar yang dikaitkan dengan @Ds HishammuddinH2O adalah palsu dan tidak benar,” menurut unit komunikasi beliau lagi.

Kandungan surat itu mendakwa, kononnya Hishammuddin telah memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong sekembalinya dari lawatan kerja ke Dubai dan menawarkan diri untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Surat berkenaan antara lain turut menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Setiausaha Akhbar kepada Hishammuddin, Hafiz Ariffin memberitahu Astro AWANI laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi berkenaan isu tersebut.


Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts