fbpx

Pembangunan semula lapangan terbang Subang, boleh dilaksana atau fantasi?

GEORGE TOWN: Cadangan pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang dan kawasan sekitarnya sebagai hab komersial dikritik sejak kertas konsep yang dirancang sebuah syarikat bocor awal bulan lalu.

Tetapi, apa sebenarnya yang cuba dilakukan syarikat itu dan kenapa?

WCT Holdings Bhd (WCT) dilapor mencadangkan pembangunan semula lapangan terbang itu dan kawasan sekitarnya dengan kos RM3.7 bilion untuk 10 tahun akan datang. Ia dilihat sebagai cubaan untuk mengeluarkan lapangan terbang bandar yang menguntungkan itu daripada tangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), syarikat berkaitan kerajaan yang mengendalikan 39 lapangan terbang dalam negara.

WCT bertegas ia tidak merancang untuk mengambil alih lapangan terbang itu sendiri, tetapi sekadar memajaknya daripada kerajaan sehingga 2092. Menurut laporan, satu rancangan syarikat itu menunjukkan ia membayangkan pembangunan komersial seluas 130 ekar dengan pusat beli-belah, pejabat dan ruang pameran di sebelah lapangan terbang itu.

Syarikat itu berkata, kerajaan akan terus memiliki lapangan terbang itu dan kawasan sekitarnya, tetapi mereka boleh memajaknya selepas mendapat kelulusan kerajaan. Ia turut bertegas cadangan itu di tahap kertas konsep.

Syarikat itu kini mempunyai konsesi operasi komersial di LTSAAS melalui anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn Bhd, untuk tempoh pajakan 30 tahun daripada MAHB sehingga 2037, dengan pilihan untuk dilanjutkan 29 tahun lagi. Di bawah rancangan terbaru WCT, lapangan terbang lebih baru itu akan menerima ketibaan penerbangan serantau berbanding hanya penerbangan domestik ketika ini.

Pemerhati berkata, langkah itu – untuk membangunkan dan mereka bentuk semula Subang sebagai lapangan terbang serantau – akan menyebabkan malapetaka, menjejaskan daya maju Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang kerana rancangan WCT akan melemahkan pasaran penumpang premium KLIA.

Sejak pembukaan KLIA pada 1998, lapangan terbang Subang ditetapkan untuk kegunaan pesawat kecil dan tentera. Pihak berkepentingan utama memberi amaran, jika cadangan itu diluluskan, kerugian mungkin mencecah RM11.9 bilion, berdasarkan baki konsesi LTSAAS sehingga 2069, lapor The Edge Markets.

Bagaimanapun, MAHB mempunyai rancangan tersendiri untuk lapangan terbang itu. Ia turut menyerahkan rancangan pembangunan semula LTSAAS dan kawasan sekitarnya, sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan semula yang diumumkan April lalu. Rancangan itu akan menyaksikan bangunan Terminal 2 yang tidak digunakan dirobohkan dan kerja pembangunan semula utama lain akan dilaksanakan.

Syarikat berkaitan kerajaan itu akan melabur RM300 juta dalam lima tahun akan datang. MAHB mempunyai “kedudukan tunai dan pasaran wang kukuh sebanyak RM1.6 bilion” dengan tambahan RM914 juta untuk digunakan ke atas lapangan terbang di Malaysia. MAHB turut mengendalikan sebuah lapangan terbang di Istanbul.

Menurutnya, rancangan pembangunan semula itu akan mengembangkan ekosistem aeroangkasa, penerbangan perniagaan sebanyak tiga kali ganda, menggandakan jumlah pengendali global dan tempatan melebihi 100 untuk mewujudkan dan menyokong 19,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Kebanyakan pakar tidak bersetuju dengan rancangan WCT kerana perluasan atau rancangan masa depan lapangan terbang Subang perlu dilakukan kerajaan, dengan mempertimbangkan survival lapangan terbang negara yang lain.

Perunding pengangkutan, Goh Bok Yen berkata, peranan LTSAAS berkhidmat kepada penduduk Lembah Klang serta sebagai hub serantau untuk penerbangan domestik dan jarak sederhana perlu dikekalkan.

Seorang lagi pakar pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata, cadangan syarikat swasta membangunkan semula lapangan terbang itu “pelik” kerana bukan datang daripada Kementerian Pengangkutan. Beliau menggesa kerajaan tidak melayan cadangan sektor swasta kerana lapangan terbang ialah aset negara dan semua pembangunan semula perlu melalui tender terbuka.

Ajit Johl, presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam, berkata cadangan itu akan merugikan MAHB, yang bergantung kepada lapangan terbang paling menguntungkan seperti Subang untuk subsidi silang bagi mengendalikan 38 lapangan terbang lain dalam negara ini.

Bekas timbalan menteri pengangkutan, Aziz Kaprawi berkata, ia tidak baik untuk kerajaan, jika LTSAAS jatuh ke tangan sektor swasta kerana ia bukan untuk kepentingan rakyat, yang mempunyai kepentingan langsung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad, kedua-duanya pemegang saham MAHB.

Baru-baru ini, Kesatuan Pekerja Lapangan Terbang Malaysia, bersama sayap kesatuan sekerja MAHB Sabah, Sarawak dan Labuan, mengugut akan mengadakan mogok di seluruh negara, jika cadangan WCT diluluskan.

Pengerusi MAHB, Zambry Abdul Kadir turut menggesa kerajaan tidak “mencairkan” pemilikan LTSAAS kepada entiti swasta kerana ia adalah aset strategik milik kerajaan.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mengingatkan kerajaan berhubung penjualan lapangan terbang Senai kepada sebuah entiti swasta, yang ketika itu berjanji ia akan menyaingi Lapangan Terbang Changi di Singapura. Hari ini, 17 tahun kemudian, ia kekal sebagai janji kosong. Katanya, sebarang jualan atau pajakan lapangan terbang kepada syarikat swasta “dimiliki beberapa orang kaya” bertentangan kepentingan negara.

Sebelum ini, WCT berkata, rancangan pembangunan semula yang dilaporkan itu sebenarnya ialah cadangan konsesi semula, bukannya mengambil alih LTSAAS seperti dilaporkan. Katanya, ia akan mengendalikan lapangan terbang itu di bawah pajakan, dengan kerajaan terus memiliki tanah dan lapangan terbang terbabit.

Katanya, cadangan itu hanya di tahap kertas konsep, yang dikemukakan Subang Skypark kepada kerajaan pada 1 Mac lalu.



Sumber: The World News

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts