fbpx

Gaza dibedil Israel lagi

Gambar sekadar hiasan.

Gaza: Israel membedil kawasan pejuang Islam, di sini, hari ini, menerusi serangan udara sebagai tindak balas pelepasan belon api dari wilayah Palestin, sekali gus mencetuskan pergolakan terbaru sejak gencatan senjata bagi mengakhiri konflik pada Mei lalu.

Sumber keselamatan Hamas berkata, serangan itu menyasarkan kawasan latihan kumpulannya, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Kenyataan dari tentera Israel pula berkata, “serangan itu sebagai tindak balas terhadap belon api ke wilayah Israel hari ini, (justeru) jet pejuang tentera menyerang… sebuah tapak penghasilan senjata milik organisasi Hamas.”

Semalam, perkhidmatan bomba Israel berkata, belon api yang dilancarkan dari Gaza mencetuskan kebakaran kecil di wilayah selatan Eshkol berdekatan sempadan Gaza.

Dalam satu kenyataan, bomba melaporkan kebakaran yang berlaku itu kecil dan tidak berbahaya serta ia dipadamkan dengan cepat.

“Penyiasat kebakaran… mendapati punca kebakaran disebabkan belon api (dari Gaza),” kata perkhidmatan bomba Israel.

Sejak gencatan senjata 21 Mei lalu, banyak serangan berlaku termasuk beberapa siri pelancaran belon api apabila Israel membalasnya dengan serangan udara bulan lalu.

Susulan kejadian berbalas tembakan pada 18 Jun lalu, ketua tentera Israel mengarahkan pasukannya bersiap siaga menghadapi pelbagai senario termasuk meletus lagi keganasan.

Dalam kejadian Mei lalu, seramai 260 rakyat Palestin termasuk beberapa pejuang terbunuh, menurut pihak berkuasa Gaza.

Di pihak Israel, 13 terbunuh termasuk seorang tentera, lapor opis dan tentera Israel.

Israel mengekalkan blokade (pengepungan wilayah) bagi melumpuhkan Gaza sejak 2007, tahun Hamas mula mengambil alih kekuasaan di wilayah itu.

SUMBER: HARIAN METRO

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts