fbpx

‘Belum wujud keperluan dos ketiga vaksin COVID-19’ – pakar imunologi

Seorang pekerja kesihatan memegang botol vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 di Pusat Pakar Swasta UiTM di Sungai Buloh 2 Mac 2021. - Gambar oleh Hari Anggara

KUALA LUMPUR: Seorang pakar imunologi berpandangan, belum wujud keperluan untuk negara melaksanakan pemberian suntikan dos ‘booster’ atau penggalak vaksin COVID-19 buat masa ini.

Ia berdasarkan beberapa faktor, membabitkan tempoh tindak balas imun yang pantas terhadap jangkitan COVID-19 serta keberkesanan vaksin terhadap varian sedia ada.

Isu keperluan pemberian dos ketiga kini menjadi perhatian selepas beberapa kajian mendapati antibodi yang terhasil daripada beberapa jenis vaksin, akan berkurang dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Bagaimanapun, pakar imunologi daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Ahmad Mahfuz Gazali, berkata meskipun kadar antibodi menurun, vaksin COVID-19 turut mewujudkan memori yang dihasilkan sel-b dan sel-t.

Beliau yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains dan Teknologi Industri UMP itu, berkata memori yang terhasil membolehkan sistem imun kekal bertindak balas dengan cepat, jika individu yang pernah menerima vaksin COVID-19 dijangkiti wabak itu, walaupun selepas kadar antibodi menurun.

“Berdasarkan kajian terbaharu, kadar antibodi mungkin menurun dalam beberapa bulan tetapi sel-b yang bertanggungjawab menghasilkan antibodi tetap ada dalam badan kita dan boleh bertahan selama beberapa tahun.

“Contohnya, bagi virus SARS-CoV-1 yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), sistem imun didapati masih boleh bertindak balas terhadap penyakit ini selepas 10 tahun.

“Melalui memori yang dihasilkan sel-b dan sel-t, antibodi masih dapat dihasilkan dengan cepat apabila seseorang yang pernah divaksin, dijangkiti COVID-19,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas laporan berita yang memetik kajian University College London (UCL) di United Kingdom, yang mendapati antibodi selepas dos kedua vaksin Pfizer dan AstraZeneca boleh menurun lebih 50 peratus selepas 10 minggu, dan mungkin tidak lagi berkesan terhadap varian baharu COVID-19.

Selain itu, satu kajian penyelidik China dilaporkan mendapati antibodi selepas dos kedua vaksin Sinovac boleh menurun selepas enam bulan.

Orang ramai mengambil peluang mendapatkan suntikan vaksinasi secara 'walk in" di Pusat Pemberian Vaksin ( PPV ) Rumah Prihatin di Hotel Grand Season KL semalam. Individu yang berusia 40 tahun ke atas dan golongan komorbiditi di Lembah Klang yang tidak mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera kini boleh mengunjungi PPV yang terpilih untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Orang ramai mengambil peluang mendapatkan suntikan vaksinasi secara ‘walk in” di Pusat Pemberian Vaksin ( PPV ) Rumah Prihatin di Hotel Grand Season KL semalam. Individu yang berusia 40 tahun ke atas dan golongan komorbiditi di Lembah Klang yang tidak mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera kini boleh mengunjungi PPV yang terpilih untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Mengulas lanjut, Ahmad Mahfuz berkata, vaksin dan jumlah dos sedia ada juga dilihat cukup untuk bertindak melindungi daripada jangkitan varian membimbangkan (VOC) seperti varian Delta.

Katanya, ia terbukti apabila hanya 1.6 peratus daripada lebih 245,000 petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang menerima dos lengkap vaksin, dijangkiti wabak itu.

Daripada jumlah yang dijangkiti, katanya, 99.7 peratus adalah pada kategori 1 dan 2, sekali gus membuktikan vaksin sedia ada berkesan untuk mengelakkan individu dijangkiti, menjadi parah.

“Malah, badan regulatori yang menjadi panduan KKM seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Agensi Perubatan Eropah (EMA) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat juga memutuskan belum ada keperluan untuk dos penggalak,” katanya.

Ditanya situasi yang memerlukan dos ketiga diberikan, Ahmad Mahfuz berpandangan, ia perlu dipertimbangkan dengan serius sekiranya jumlah individu divaksin yang dijangkiti meningkat.

“Data terkini KKM menunjukkan antara 70 hingga 90 peratus kes baharu COVID-19 daripada kategori 1 hingga 5, tidak pernah divaksin.

“Seorang individu dikira lengkap divaksin selepas 14 hari menerima dos kedua. Jika jumlah kumpulan ini yang masih mendapat jangkitan teruk meningkat, ketika itulah kita perlu fikirkan dos penggalak dengan serius.

“Apa pun, kita tidak perlu bimbang kerana Malaysia sudah bersedia dengan kemungkinan itu berdasarkan jumlah perolehan vaksin yang meliputi 130 peratus jumlah populasi negara,” katanya.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts