fbpx

Polis dedah identiti anggota TUDM maut dalam kes tembakan

MAYAT salah seorang anggota TUDM yang maut dalam kejadian kes tembakan di Pangkalan TUDM Kota Samarahan, dibawa ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk siasatan lanjut.

Kuching: Polis mengenal pasti identiti empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam kejadian tembakan di kem TUDM di Kota Samarahan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, anggota yang maut terdiri ialah Koperal Udara Ho Swee Boon dari Lundu; Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat dari Asajaya; Laskar Udara (LU) Luk Nesly anak Nabau dari Sibu dan Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Kuching.

Beliau berkata, maklumat awal kejadian mendapati suspek dipercayai mengamuk dan masuk ke balai pengawal di kem Handau Skuadron 330 seterusnya mengambil senjata api.

“Ketika itu penyelia bertugas adalah Koperal Julaihi. Turut berada di situ adalah Koperal Mohd Saiful Dania, Koperal Jas anak Munap, LU Hezerin Muhd dan LU Afiq Nazmi Rozaidi.

“Suspek sempat bertanya nak hidup atau mati. Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq cuba menenangkan suspek tetapi suspek melepaskan tembakan dan terkena perut Shariff. Mendengar bunyi tembakan, kesemua saksi bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai insiden itu.

TUDM dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan berlaku satu insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada pukul 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching ketika waktu anggota bertugas.

TUDM juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh polis selesai dan satu lembaga penyiasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.







Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts