fbpx

Waspada hujan lebat di Kedah

Alor Setar: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran waspada susulan jangkaan hujan lebat di beberapa daerah di negeri ini selama dua hari bermula hari ini.

Pengarah MetMalaysia Kedah, Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata, antara daerah terbabit termasuk Yan, Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Muda dan Bandar Baharu, Pendang, Kulim dan Langkawi.

“Kita jangkakan hujan lebat akan berlaku hari ini terutama pada sebelah petang yang boleh mengakibatkan banjir kilat serta tanah runtuh di kawasan berisiko tinggi.

“Ia boleh menyebabkan berlakunya kejadian kepala air seperti yang berlaku semalam. Kejadian sama mungkin berlaku di kawasan sama yang mengalaminya semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Khalil berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya mengelak dari berada di lokasi yang berisiko untuk mengelakkan tragedi sama berulang.

Beliau berkata, penduduk di kawasan rendah juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa supaya berpindah sekiranya paras air meningkat terutama di kawasan berhampiran sungai.

“Penduduk perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya hujan lebat dan bersedia untuk berpindah ke tempat selamat.

“Ketika ini kita masih berada dalam monsun barat daya dan zon penumpuan angin kini di kawasan utara Semenanjung yang menyebabkan hujan lebat seperti yang dialami semalam,” katanya.

Dalam kejadian jam 4.30 semalam, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tiga lokasi berasingan di daerah Yan selepas dihanyutkan arus deras akibat kejadian kepala air.

Setakat ini, tiga mangsa masih hilang di kawasan Titi Hayun, Yan dan operasi mencari mangsa diteruskan membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).






Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts