fbpx

Lebih 300 anggota penyelamat giat kesan 2 mangsa hilang

YAN, 19 Ogos -- Anggota Pasukan Penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air di kawasan Titi Hayun, Yan petang semalam. Tiga mangsa ditemukan maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai, yang dilanda banjir susulan fenomena kepala air itu. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

YAN: Usaha mengesan dua mangsa yang masih hilang di Titi Hayun dan Salak Denai di sini dipergiatkan dengan kekuatan 305 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata setakat jam 3 petang ini, masih belum ada sebarang petunjuk dalam mengesan dua mangsa terbabit.

Beliau berkata, khidmat dua anjing pengesan dari Unit K-9 Sungai Petani serta K-19 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dilakukan di sekitar kawasan pencarian.

“Operasi sedang berjalan malah kita turut menggunakan dron untuk membantu mengesan kedudukan mangsa,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi (PKB) Titi Hayun di sini hari ini.

Operasi turut membabitkan JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan lain-lain agensi.

Dalam perkembangan lain, Shahnaz berkata, laluan ke Gunung Jerai ditutup dan pihaknya menunggu Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk laporan struktur semula.

Bagaimanapun, hanya satu lorong dibuka untuk kegunaan kakitangan Jerai Hill Resort, Telekom Malaysia (TM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada waktu siang.

“Setakat ini 11 kakitangan Jerai Hill Resort sudah dibawa turun dan hanya kakitangan resort berkenaan yang tinggal di atas Gunung Jerai.

“Dalam pada itu, polis menerima 99 laporan berhubung rumah penduduk yang terjejas akibat banjir lumpur di daerah ini.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.

Empat terkorban dalam kejadian banjir lumpur dan kepala air di Gunung Jerai, Titi Hayun dan Salak Denai Rabu lalu.

Kejadian kepala air itu menyebabkan limpahan air sekali gus mengakibatkan banjir yang disertai lumpur di beberapa kawasan berhampiran Gunung Jerai dan Merbok di Kuala Muda.






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts