fbpx

Kelantan akan buka stesen kuarantin Orang Asli positif COVID-19

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim ketika ditemui di luar dewan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini, hari ini. -Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan membuka stesen kuarantin (QS) pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, dekat Gua Musang bagi menempatkan keluarga Orang Asli yang positif COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata pusat QS berkenaan akan dibuka bermula esok.

Katanya, untuk permulaan lapan keluarga dari kawasan Pos Blau di kawasan Tanah Tinggi Lojing akan ditempatkan di QS itu.

“QS itu mampu memuatkan seramai 300 pesakit yang positif dan tumpuan akan diberikan kepada keluarga Orang Asli suku Temiar di kawasan berkenaan.

“Pusat QS itu dibuka bagi memastikan COVID-19 tidak menular dan merebak ke kawasan lain di Gua Musang memandangkan jangkitan wabak itu dalam kalangan Orang Asli semakin membimbangkan.

“Pada masa ini, ada enam kampung yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya ketika ditemui di luar dewan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Syahbuddin berkata, berdasarkan kepada kes sebelum ini, walaupun kampung mereka dilaksanakan PKPD, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) agak longgar kerana tiada penguatkuasaan di lokasi itu.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 400 masyarakat orang asli di kawasan Lojing positif COVID-19 dan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).




Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts