fbpx

Pembangkang jadi Timbalan Speaker bukti kerjasama bipartisan

AZALINA OTHMAN SAID

PETALING JAYA: Jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dikosongkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said perlu diisi oleh wakil pembangkang jika kerajaan serius melakukan reformasi Parlimen dan kerjasama bipartisan.

Malah Azalina berkata, cadangan tersebut perlu diusulkan oleh pihak kerajaan sendiri.

“Saya berpandangan ia perlu digantikan oleh Ahli Parlimen pembangkang, namun usul perlu dibangkitkan oleh kerajaan sendiri.

“Ini satu perkara terbaik yang perlu dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika mahu merealisasikan kerjasama yang dimeterai antara beliau dengan pemimpin pembangkang,” katanya dalam Webinar Reformasi Parlimen anjuran Institusi Jeffrey Cheah Asia Tenggara hari ini.

Menurut bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu lagi, sekiranya perkara berkenaan dapat direalisasikan, ia menjadi satu contoh dan pencapaian terbaik serta amat baik untuk sejarah perjalanan Parlimen tanah air.

“Jika kerajaan melakukan demikian, ia menunjukkan usaha kita untuk menjadikan Parlimen sebagai platform forum yang profesional,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai langkah reformasi Parlimen, Azalina memberitahu ia wajar dipertimbangkan termasuk perubahan terhadap komposisi Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Parlimen dengan perlu disertai jumlah wakil pembangkang yang ditetapkan.

Beliau mendapati ketika ini, hanya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dipengerusikan wakil pembangkang, tetapi anggota pembangkang lebih ramai dalam jawatankuasa itu.

“Jika kerajaan benar-benar serius mengenai pembaharuan, jumlahnya boleh dibahagi sama rata antara pembangkang dan kerajaan,” ujarnya.

Beliau turut senada dengan gesaan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dan ahli PSC Kesihatan, Sains dan Inovasi, Kelvin Yii untuk meminda peraturan bagi membenarkan jawatankuasa itu mengadakan mesyuarat maya supaya mereka dapat terus menjalankan tugas.





Sumber: Utusan Malaysia

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts