fbpx

Kementerian Kewangan terbit Kertas Konsultasi Awam

TENGKU Zafrul pada sidang media khas di Kementerian Kewangan Malaysia. FOTO Aizuddin Saad

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) telah menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) yang boleh dimuat turun bermula hari ini sebagai salah satu usaha menambahbaik ketelusan dan keterangkuman di dalam proses penyediaan belanjawan tahunan.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata KKA itu juga adalah sebagai pelengkap kepada Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang diterbitkan kementeriannya pada 31 Ogos lalu.

Beliau berkata, KKA itu diterbitkan bagi meningkatkan tahap pembabitan rakyat dalam proses penyediaan belanjawan tahunan, disamping membolehkan rakyat mengemukakan maklum balas atau cadangan penambahbaikan ke atas dasar kerajaan.

“Sebagai langkah permulaan, empat kertas konsultasi awam akan diterbitkan untuk mendapatkan input kepada Belanjawan 2022,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Empat kertas itu ialah Penambahbaikan Dasar Perolehan Kerajaan Berkaitan Barangan/Perkhidmatan Tempatan dan Bumiputera, yang akan menggariskan cadangan penambahbaikan ke atas dasar penggunaan barangan/perkhidmatan tempatan dan dasar keutamaan syarikat Bumiputera.

Ia antara lainnya adalah bagi melindungi dan membangunkan industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.

Kedua, ialah Penambahbaikan Program Bantuan Tunai, yang akan mengenalpasti masalah, keperluan dan kaedah yang berkesan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat, terutamanya dalam situasi yang mencabar akibat penularan COVID-19.

Ketiga ialah Kajian Insentif Cukai, yang merangkumi kajian semula rangka kerja insentif cukai pelaburan secara menyeluruh, bagi memastikan insentif cukai kepada pelabur kekal relevan dengan landskap semasa perniagaan.

Ia juga bertujuan meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan berkualiti, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan penambahbaikan kedudukan fiskal negara

Keempat ialah Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal, yang bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara, termasuk pengurusan hasil, perbelanjaan, hutang, risiko fiskal, serta pelaporan tertentu dalam bentuk pra-bajet dan pasca bajet, unjuran kedudukan ekonomi dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.

Tengku Zafrul berkata, MOF yakin penerbitan KKA buat kali pertama itu akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan belanjawan yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar dan objektif negara.

KKA boleh dimuat turun dan maklum balas boleh dikemukakan melalui laman web www.mof.gov.my. selewat-lewatnya pada jam 5 petang, 15 September 2021.

Soalan atau keperluan maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada [email protected].






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts