fbpx

Hampir 7,000 remaja terima vaksin

Foto: BERNAMA

JOHOR BAHRU: Seramai 6,923 remaja sudah menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Johor, bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata seramai 304,695 remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

Katanya, dianggarkan terdapat 359,900 remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini.

“Pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan integrasi di Johor yang dipilih bagi pelaksanaan pemberian vaksin untuk remaja ialah Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA), Johor Bahru; Dewan Raya Bandar Putra, Kulai; Dewan Serba Guna Jalan Genuang, Dewan Serba Guna Taman Yayasan dan Dewan Serba Guna Labis di Segamat.

“Selain itu Dewan Jubli Intan Pontian, Dewan Serba Guna Benut dan Dewan Tunku Ibrahim, Pekan Nanas di Pontian, selain Dewan Jubli Intan Mersing serta Dewan Serba Guna Endau, Mersing.

“Bagi daerah yang tiada PPV, pelaksanaan program pemberian vaksin COVID-19 remaja akan dijalankan sepenuhnya di sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, remaja 12 tahun hingga 15 tahun, yang mempunyai komorbid diberi janji temu di hospital atau klinik kesihatan.

Katanya, pemberian vaksin remaja berusia 16 dan 17 tahun diberi di dewan sekolah atau PPV tanpa mengira status kesihatan.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts