KUALA LUMPUR: Rombakan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan semula sekolah di seluruh negara dibuat susulan ancaman penularan jangkitan varian delta.
Pengarah Bahagian Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Zainal Abas, berkata SOP 3.0 yang akan diterapkan di semua 10,224 sekolah di Malaysia, menjelang Ahad dan Isnin ini antara lain memberikan tumpuan kepada beberapa aspek.
Jelasnya, ia mencakupi faktor pengudaraan bilik darjah, pengasingan, vaksin dan pemakaian pelitup muka, selain pelaksanaan gelembung pembelajaran.
“Kita tidak boleh bersandarkan SOP sebelum ini kerana dahulu kadar kes hanya sekitar empat angka, tetapi sekarang sudah mencecah lima angka berikutan varian delta.
“Justeru, kita keluarkan SOP 3.0 untuk tangani risiko penularan angkara varian delta yang kalau sebelum ini jangkitan boleh berlaku menerusi titisan air, tetapi sekarang secara aerosol.
“Ini sebagai langkah keselamatan berganda, manakala semua pekerja khidmat sokongan wajib divaksin untuk masuk ke premis sekolah,” katanya ketika diundang pada webinar anjuran Kementerian Kesihatan (KKM) bertajuk, ‘Hidup Bersama-Sama Virus COVID-19: Kanak-Kanak dan Remaja’ secara dalam talian, hari ini.
Susulan kajian Pusat Kawalan dan Pencegahan Jangkitan (CDC) serta KKM, Zainal berkata pengurusan sekolah diarah untuk melakukan beberapa pengubahsuaian sebelum murid kembali memasuki bilik darjah.
Beliau berkata, ia meliputi kepentingan penggunaan kipas, berbanding pendingin hawa dan membuka semua tirai atau langsir dalam kelas yang berupaya menyekat aliran udara dari luar.
“Kita sudah arahkan sekolah untuk turun dan simpan dulu semua tirai, langsir dalam kelas, selain gunakan kipas bagi meningkatkan aspek pengudaraan seperti diterapkan menerusi kajian CDC serta KKM.
“Pintu pula perlu dibiarkan dibuka kerana kalau ditutup, seorang murid nak keluar akan pegang, kemudian diikuti pula dengan rakan yang lain, sehingga menyebabkan sentuhan ramai.
“Untuk pengoperasian waktu rehat, murid hanya dibenarkan makan di bilik darjah yang menggunakan kipas, manakala bagi kelas dilengkapi pendingin hawa perlu makan di luar,” katanya.
Mengenai pelajar berasrama penuh, Zainal berkata saringan kit ujian pantas (RTK) antigen kendiri menggunakan air liur akan dibuat sebanyak tiga kali, iaitu masing-masing pada hari pertama, keenam dan ke-14.
Selain itu, katanya, ibu bapa tidak dibenarkan melawat atau berjumpa anak mereka secara bersemuka sepanjang tempoh sesi persekolahan tahun ini yang hanya berbaki 46 hari.
“Jika ada kes positif menerusi ujian kendiri, murid akan dibawa ke pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk menjalani ujian pengesahan RT-PCR, selain ibu bapa mereka dimaklumkan.
“Justeru, bagi mengelak sebarang risiko jangkitan dari luar, murid akan berada dalam gelembung pembelajaran iaitu kekal tinggal di asrama, dengan aktiviti hujung minggu akan dirangka dan diuruskan pengurusan sekolah,” katanya.
Sumber: Berita Harian