fbpx

33 maut angkara keracunan metanol

KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 kematian dilaporkan akibat keracunan metanol dilaporkan di tujuh negeri setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 55 notifikasi kes keracunan metanol iaitu 25 kes di Selangor, Perak (13 kes), Pahang (5 kes), Pulau Pinang (6 kes), Kuala Lumpur (4 kes) dan masing-masing satu di Johor serta Negeri Sembilan dalam tempoh 9 September sehingga semalam.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 26 kes membabitkan warga negara, manakala selebihnya adalah warga asing.

“Secara kumulatif sejumlah 33 kes kematian dilaporkan menjadikan kadar serangan sebanyak 60 peratus.


“Daripada jumlah kematian yang dilaporkan, 18 kes membabitkan warga negara, manakala 15 kes adalah warga asing iaitu tujuh warga Myanmar, lima warga India dan tiga warga Nepal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tujuh kes sudah discaj dari hospital manakala terdapat 15 kes lagi masih menerima rawatan iaitu 12 kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes tidak kritikal yang dirawat di wad.

“Keracunan metanol berlaku apabila minuman beralkohol yang diminum mengandungi metanol dalam dos yang toksik.

“Metanol boleh hadir dalam kuantiti yang toksik akibat proses distilasi minuman beralkohol yang tidak sempurna atau metanol dicampur ke dalam minuman beralkohol sebelum diminum,” katanya.

Katanya, keracunan metanol juga biasanya dikaitkan dengan minuman beralkohol yang dikilang secara tidak sah kerana kebiasaannya metanol dicampur ke dalam minuman tersebut sebagai pengganti etanol.

“Ini adalah kerana harga metanol yang secara relatif lebih murah berbanding etanol.

“Gejala keracunan metanol adalah seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala dan kabur penglihatan dalam tempoh lima hari pengambilan minuman beralkohol,” katanya.

Menurutnya, KKM ingin menasihatkan orang awam untuk segera membawa mana-mana individu yang mempunyai gejala keracunan metanol ke klinik atau hospital yang terdekat bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Kita juga ingin menasihati pengguna untuk tidak meminum sebarang minuman beralkohol yang dikhuatiri tercemar dengan metanol.

“Pengguna hendaklah memastikan minuman yang dibeli mempunyai label yang mengandungi maklumat mengenai pengeluar, pengedar atau pengimport dan juga ramuan minuman beralkohol ini,” kataya.

Katanya, pengguna juga perlu mengelakkan daripada mengambil minuman beralkohol yang dihasilkan sendiri dan yang dijual dengan harga yang murah atau yang meragukan.

“Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 menetapkan individu yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“KKM bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memandang serius akan kejadian ini,” katanya.




Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts