fbpx

Gangguan bekalan air di Lembah Klang 13-16 Oktober

KUALA LUMPUR: Sebanyak 998 kawasan di Lembah Klang khasnya di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 9 pagi pada 13 hingga 16 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman, berkata ia susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal pada tempoh itu yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Katanya, pelaksanaan kerja itu tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

Namun beliau menegaskan, pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan itu mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat bermula jam 5 petang pada 14 Oktober selepas kerja menaiktaraf dan penyenggaraan siap, seterusnya sistem agihan bekalan air distabilkan.

“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober. Air Selangor menasihatkan pelanggan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suhaimi berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

Oleh itu katanya, Air Selangor akan menggerakkan 105 lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Beliau berkata, Air Selangor juga akan menyediakan 18 pili air awam mulai 14 hingga 16 Oktober untuk kemudahan pelanggan yang memerlukan bekalan air semasa tempoh pemulihan bekalan air.

“Bagi pelanggan komersial, pembelian air menggunakan lori tangki air masing-masing akan dibuka di empat stesen pengisian air setempat.

“Pelanggan komersial boleh membuat pembayaran untuk pembelian air tersebut di 10 Kaunter Khidmat Pelanggan Air Selangor.

“Senarai lengkap kawasan terjejas, pili air awam dan Stesen Pengisian Air Setempat boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com,” katanya.

Katanya, pengguna boleh mendapatkan maklumat gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Air Selangor di talian 15300.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts