fbpx

Ibu bapa hantar anak ke asrama, sekolah dibenar rentas negeri

gambar hiasan

PETALING JAYA : Ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke asrama dibenarkan merentas negeri sebaik sesi persekolahan dibuka.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, bagaimanapun, pergerakan itu perlu mendapatkan surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah atau institusi pendidikan.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara telah mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan harian ke sekolah atau institusi pendidikan dan kemasukan pelajar ke asrama yang melibatkan pergerakan rentas negeri.

Jelasnya, pergerakan pergi dan balik ke sekolah atau institusi pendidikan bagi murid atau pelajar yang terlibat boleh ditemani oleh seorang penjaga.

“Bagi kemasukan murid atau pelajar ke asrama juga adalah dibenarkan dengan menggunakan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah atau institusi pendidikan untuk tujuan merentas negeri.

“Oleh yang demikian,pelajar, ibu bapa, guru atau tenaga pengajar yang ingin membuat pergerakan merentas negeri bagi tujuan ini dinasihati agar menyediakan surat pengesahan daripada KPM, sekolah atau institusi pendidikan untuk dikemukakan kepada petugas di sekatan jalan raya bagi melancarkan pergerakan,” katanya dalam satu kenyatan di sini malam tadi.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin pada 15 Ogos lalu mengumumkan tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Oktober iaitu dilewatkan berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.

Radzi berkata bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata kementeriannya merancang membuka semula Institusi Pengajian Tinggi untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi sesi akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Oktober ini.





Sumber: UTUSAN

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts