KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri dalam tempoh beberapa hari lagi, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai yang mahu melakukan pergerakan rentas negeri nanti supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) asas.
Beliau turut menyarankan mereka menjalani ujian saringan COVID-19 secara kendiri menggunakan air liur dengan kerap, bagi menjaga keselamatan individu tersayang, khususnya jika mahu pulang ke kampung halaman.
“Dalam tempoh beberapa hari lagi, sekatan rentas negeri akan berakhir.
“Adalah penting untuk melaksanakan semua langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka, membasuh tangan dan menjaga penjarakan fizikal, termasuk bagi yang sudah divaksin.
“Bagi menjaga keselamatan individu tersayang dan keluarga anda, tolong lakukan ujian kendiri RTK-Ag menggunakan air liur secara berkala,” katanya melalui Twitter, hari ini.
Media semalam melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau melakukan ziarah bertemu keluarga di luar lokaliti, dinasihatkan menjalani ujian kendiri COVID-19 apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan kelak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan, kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini mencapai 90 peratus.
Portal COVIDNOW menunjukkan kadar populasi dewasa yang lengkap divaksin sudah mencecah 88.8 peratus, setakat tengah malam tadi.
Sumber: Berita Harian