PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini melaporkan kadar pengangguran negara menurun kepada 4.6 peratus atau 748,800 orang pada Ogos lalu, susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan kembali beroperasi.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata Statistik Tenaga Buruh pada Ogos lalu menunjukkan kedudukan penawaran buruh berdasarkan Survei Tenaga Buruh juga semakin baik.
“Ini ditunjukkan oleh peningkatan dalam guna tenaga manakala pengangguran menurun pada bulan berkenaan yang menyaksikan beberapa negeri beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Nasional (PPN),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.5 peratus bulan ke bulan kepada 15.38 juta pada Ogos berbanding 15.29 juta pada Julai, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus.
Beliau berkata, penurunan kadar pengangguran itu daripada 778,200 orang yang dicatatkan Julai lalu kepada 748,800 orang pada Ogos.
Katanya, ia adalah penurunan pengangguran yang pertama selepas negara merekodkan peningkatan pada Jun dan Julai.
“Kadar pengangguran pada Ogos lalu menurun 0.2 mata peratus kepada 4.6 peratus berbanding bulan sebelumnya yang merekodkan 4.8 peratus. Justeru, bilangan tenaga buruh terus meningkat bagi bulan kedua sebanyak 0.3 peratus kepada 16.13 juta orang pada Ogos berbanding pada Julai lalu iaitu seramai 16.07 juta orang.
“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan itu meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 68.4 peratus berbanding 68.3 peratus pada Julai,” katanya.
Mohd Uzir berkata, hasil positif daripada penurunan kes COVID-19 harian serta dengan peningkatan jumlah dos vaksinasi di seluruh dunia dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global.
Beliau berkata, indikator COVID-19 di Malaysia pula mula menunjukkan penurunan sementara bilangan golongan dewasa yang lengkap divaksin mencapai kadar lebih daripada 88 peratus, justeru membawa kepada peralihan lebih banyak negeri ke fasa PPN berikutnya.
“Peralihan positif ini memberi isyarat bahawa prestasi ekonomi Malaysia akan pulih semula secara beransur-ansur susulan lebih banyak perniagaan kembali beroperasi dengan kapasiti yang lebih.
“Walaupun cabaran akan berterusan pada bulan-bulan berikutnya disebabkan oleh situasi kesihatan awam yang tidak menentu, pelaksanaan PPN yang membenarkan pembukaan semula ekonomi dengan lebih selamat dijangka akan dapat memacu ekonomi negara untuk pulih secara progresif.
“Prestasi ekonomi negara yang menggalakkan akan meningkatkan permintaan buruh termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekonomi. Oleh itu, ekonomi dan pasaran buruh dijangka pulih secara berperingkat pada bulan-bulan akan datang,” katanya.
Sumber: Berita Harian