KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri akan berbincang dengan wakil kerajaan Singapura esok, mengenai laluan pelancongan vaksinasi antara kedua-dua negara.
Nancy berkata, perbincangan itu dijangka diadakan bersama Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong bagi melancarkan perancangan Malaysia untuk membuka pintu sempadannya kepada pelancong dari republik itu.
“Hasil perbincangan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jika diluluskan, ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Beliau berkata, inisiatif itu dibuat kerajaan sebagai langkah untuk membuka lokasi pelancongan negara kepada pelancong asing lebih awal seperti diminta pihak industri.
Katanya, pihak industri sektor pelancongan tempatan sudah bersedia menerima kedatangan pelancong asing bagi membantu mereka bernafas semula.
“Kita menjangkakan tiga bulan selepas pembukaan Langkawi kepada pelancong asing pada 15 November ini namun mungkin kita mula lebih awal lagi,” katanya.
Sumber: Berita Harian