MUAR: Kementerian Pendidikan sekali lagi mengingatkan pihak sekolah agar memberikan kelonggaran kepada pelajar dan murid yang hadir ke sekolah khususnya dalam aspek pemakaian.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perkara itu telah dinyatakan sebelum ini bahawa murid dibenarkan untuk mengenakan apa sahaja pakaian yang sopan ke sekolah.
Namun katanya, masih terdapat rungutan ibu bapa mengenai segelintir guru yang menetapkan syarat untuk murid mengenakan uniform sekolah lengkap.
“Saya tekankan sekali lagi bahawa seperti dinyatakan sebelum ini kita membenarkan murid-murid untuk berpakaian yang sesuai serta sopan dan kemas sehingga tempoh akhir tahun persekolahan iaitu pertengahan Disember.
“Itu paling penting kerana kementerian dapat aduan ada yang beritahu cikgu suruh pakai baju sekian-sekian, kasut sekolah betul-betul sedangkan sebahagian mereka ini ada yang baju pun sudah tak muat,” katanya ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Semasih, Panchor hari ini.
Pada 21 September lalu, Radzi memaklumkan murid-murid yang bakal kembali mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober tidak diwajibkan untuk memakai pakaian seragam sekolah.
Jelas beliau, pihak sekolah seharusnya memudahkan urusan kehadiran murid ekoran kekangan yang dihadapi ibu bapa tatkala pembukaan sekolah di waktu pandemik.
“Saya mohon pihak sekolah khususnya guru-guru pastikan anak murid dimudahkan kehadiran mereka ke sekolah. Kita tak nak tetapkan hari tertentu pakai pakaian tertentu, kalau tak boleh pakai misalnya kena beritahu mak ayah dan sebagainya.
“Ini mungkin memberikan satu bebanan kepada ibu bapa khususnya buat mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah selesai melengkapkan pemilihan guru bagi Fasa 1 pengambilan secara one-off.
Katanya, kriteria pemilihan awal itu adalah berlandaskan calon yang bakal mengajar subjek penting di sekolah serta mempunyai latar belakang dalam pengajian pendidikan.
“Fasa 1 telah dipilih dan kita tak ikut berapa ramai, kita berpandukan pada susunan subjek, setelah perkara ini tercapai, baru kita lihat graduan yang tidak ada latar belakang pendidik.
“Sebab itu kita buat secara berperingkat, ada fasa yang hanya memerlukan ratusan tenaga pengajar namun ada fasa yang perlukan beribu, justeru kita perlu lihat keperluan subjek dalam fasa tersebut,” katanya.
Sumber: UTUSAN