fbpx

KPM larang periksa haid pelajar secara fizikal

Foto: Utusan/Shahir Noordin

PUTRAJAYA: Semua jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) sudah diarahkan untuk memastikan amalan pemeriksaan fizikal berkaitan haid tidak berlaku di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

BH difahamkan, arahan itu dikeluarkan melalui satu surat makluman ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid, untuk edaran dalaman bertarikh 2 November lalu selepas KPM mendapati pemeriksaan haid itu berlaku dalam kalangan murid perempuan di institusi pendidikan kementerian itu.

Sumber ketika dihubungi, mengesahkan surat itu sudah dihantar kepada pihak berkaitan untuk tindakan susulan secara serta-merta.

Surat makluman itu turut meminta JPN dan PPD sentiasa peka serta menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan insiden berkenaan tidak berulang di masa depan.

Ia juga menyatakan, tindakan tegas perlu diambil segera jika ia berlaku di mana-mana institusi pendidikan bawah KPM, selain meminta arahan itu dimaklumkan kepada semua pengurusan institusi pendidikan bawah seliaan jabatan dan PPD terbabit.

Bagaimanapun, BH masih belum mendapat maklum balas daripada pihak KPM serta Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengenainya.

Radzi sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya komited memastikan amalan sedemikian tidak terus berlaku di mana-mana institusi KPM, malah terus menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa di sekolah serta asrama untuk semua.

Pada 27 Oktober lalu, beliau dilaporkan melawat sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan berlaku amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan di institusi berkenaan.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendedahkan pelajar di beberapa sekolah yang tidak dinamakan, mendakwa amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang haid dikatakan berlaku sejak 20 tahun lalu.






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts