fbpx

[PARLIMEN] Kad OKU tidak perlu diperbaharui setiap tahun

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

KUALA LUMPUR: Kad orang kurang upaya (OKU) tidak perlu diperbaharui setiap tahun bagi membolehkan mereka mendapat bantuan kewangan secara bulanan.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff, berkata, kad tersebut hanya perlu diperbaharui jika terdapat perubahan kategori atau subkategori OKU.

“Pemegang kad juga boleh membuat penukaran kad jika ingin menukar alamat atau gambar terkini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Natrah Ismail (PH-Sekijang) meminta kerajaan menjelaskan mengenai pembaharuan kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta jumlah pendaftaran OKU dan bilangan kelulusan mulai 2018.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Siti Zailah memaklumkan, seramai 582,944 OKU berdaftar dengan JKM hingga 30 September lalu.

Secara keseluruhan, sebanyak 153,627 daripada 163,647 permohonan pendaftaran OKU diterima, diluluskan dari 2018 hingga 13 Oktober lalu.

“Seramai 92,265 OKU bekerja dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah menerima Elaun Pekerja OKU sebanyak RM450 sebulan membabitkan kos keseluruhan RM329.6 juta, manakala 83,929 menerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dengan kos RM202.5 juta, setakat Ogos lalu.

“Seramai 25,835 penjaga OKU atau pesakit terlantar menerima Bantuan Penjagaan OKU atau Bantuan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) bernilai RM106.8 juta iaitu hampir 35 peratus OKU berdaftar atau penjaganya menerima bantuan JKM dengan nilai RM638.9 juta hingga Ogos lalu,” katanya.






Sumber: Utusan

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts