fbpx

Kedah belanja RM12 juta pulihara, selenggara hutan

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR: Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM12 juta bagi kerja pemuliharaan dan penyelenggaraan hutan di Kedah dalam tempoh tiga tahun sejak tahun 2018 termasuk menanam semula hutan diteroka secara haram seluas 3,428 hektar.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata daripada jumlah perbelanjaan itu, masing-masing lebih RM4.8 juta dibelanjakan pada tahun 2020 dan 2019, manakala lebih RM2.5 juta lagi dibelanjakan pada 2018.

Katanya, keluasan hutan di Kedah adalah sebanyak 344,865 hektar iaitu 341,865 hektar adalah Hutan Simpan Kekal (HSK), cadangan Hutan Simpanan Kekal seluas 2,514 hektar dan tanah kerajaan seluas 455 hektar.

“Untuk memastikan hutan ini dipulihara kita melakukan kerja restorasi hutan, tanaman dan rawatan pokok bakau, inventori hutan sebelum dan selepas penebangan dan mencuci sempadan HSK.

“Kita juga melakukan penyelenggaraan Kawasan Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi (HCVF) dan pembinaan tapak semaian serta bahan tanaman,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi (AMANAH-Alor Mengkudu) mengenai keluasan hutan dan hutan simpan kekal serta skop pemeliharaan dan penyelenggaraan hutan termasuk jumlah perbelanjaan pada 2018 hingga 2020.

Muhammad Sanusi berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) juga akan memulihkan semula hutan dengan menanam semula pokok hutan bagi mengembalikan kelestarian alam di kawasan berkenaan.

“Saya difahamkan jabatan ini menyasarkan sebanyak 2.75 juta pokok ditanam di kawasan yang dikenal pasti di negeri ini dengan 550,000 pokok ditanam setiap tahun sehingga 2025 menerusi kempen penanaman 100 juta pokok seluruh negara.

“Ia bertujuan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah di negara kita diliputi pokok dan hutan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah juga berjaya memperoleh semula Sijil Pengurusan Hutan pada 1 Oktober lalu selepas digantung pada 9 hingga 31 Mei 2019.




Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts