PUTRAJAYA: Bekas setiausaha akhbar kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Izad Raya menafikan khabar angin yang tersebar di media sosial bahawa bekas Perdana Menteri itu meninggal dunia.
Izad ketika dihubungi Utusan Malaysia menegaskan, khabar angin berkenaan tidak benar kerana Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah kini sedang bercuti dalam negara bersama keluarganya.
“Berita berkenaan adalah palsu (berita kematian Pak Lah) kerana saya sudah semak dengan anaknya dan Pak Lah masih sihat.
“Pak Lah kini sedang bercuti bersama keluarganya dalam negara,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5 itu meninggal dunia pagi ini.
Terdahulu berita palsu tersebut tersebar di media sosial sekali gus menimbulkan tanya tanya mengenai status terkini kesihatan beliau.
Izad yang masih berhubungan rapat dengan Pak Lah meminta semua pihak tidak menyebarkan khabar angin tidak sahih.
Sumber: UTUSAN