fbpx

Zakri serah Surat Tauliah Lantikan kepada Ratu Elizabeth II

Zakri menyerahkan Surat Tauliah Lantikan dan Surat Panggil Balik untuk penyandang sebelumnya kepada Ratu Elizabeth II, pada istiadat secara maya di Istana Buckingham. - Foto Twitter The Royal Family

PUTRAJAYA: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) Great Britain dan Ireland Utara, Zakri Jaafar semalam menyerahkan Surat Tauliah Lantikan dan Surat Panggil Balik untuk penyandang sebelumnya kepada Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham di London.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London dalam satu kenyataan berkata pada istiadat secara maya itu, Zakri menyampaikan sembah maklum kepada Ratu Elizabeth II, salam mesra daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Kenyataan itu menyebut, Zakri turut menyampaikan ucapan selamat sejahtera bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia kepada kerajaan dan rakyat UK.

Katanya, Zakri kemudian menyatakan perasaan amat berbesar hati dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Great Britain dan Ireland Utara dan akan berusaha untuk mengeratkan serta mengembangkan persahabatan dan kerjasama antara Malaysia dan UK ke tahap yang lebih tinggi.

“Hubungan diplomatik antara Malaysia dan UK yang diwujudkan pada 1957 kini menjadi substantif dan meluas merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pendidikan dan latihan, perubahan iklim, budaya dan pelancongan, dan hubungan rakyat dengan rakyat.

“UK kekal sebagai rakan dagang dan ekonomi penting untuk Malaysia.

“Sejak 10 tahun kebelakangan ini hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara adalah positif. Biarpun dengan penularan COVID-19 pada 2020, jumlah dagangan meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada RM16.69 bilion (£3.09 bilion) berbanding 2019,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, jumlah eksport ke United Kingdom bernilai RM9.99 bilion (£1.85 bilion) manakala import pula berjumlah RM 6.71 bilion (£1.24 bilion).

Katanya, dari Januari hingga September lalu jumlah dagangan dengan UK meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM12.59 bilion (£2.20 bilion).

Sementara itu, kenyataan sama memaklumkan, Zakri adalah diplomat kanan yang berkhidmat dengan Kementerian Luar sejak 1992.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau memegang pelbagai jawatan termasuk Setiausaha Bahagian (Ekonomi dan Alam Sekitar Pelbagai Hala), Setiausaha Bahagian (Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)-D-8, Pertubuhan Khas dan Kerjasama Selatan-Selatan), dan Setiausaha Bahagian (Pembangunan).

Selain itu, Zakri juga pernah berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Chile dan Jepun.

“Sebelum dilantik memegang jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Great Britain dan Ireland Utara, Zakri berkhidmat sebagai Duta Malaysia ke Jordan dari 2014 hingga 2017 dan Duta Malaysia di Bosnia Herzegovina dari 2017 hingga Mei 2021,” katanya.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts