fbpx

Penolong pegawai perubatan didakwa rasuah urus jenazah

MOHD. Fariq Ariffin didakwa atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,750 bagi kerja-kerja pengurusan jenazah di Mahkamah Seksyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH: Seorang penolong pegawai perubatan hospital kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam tuduhan menerima suapan berkaitan hal ehwal pengurusan jenazah bernilai RM1,750, pada April 2020 hingga Februari lalu.

Mohd Fariq Ariffin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri suapan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM1,750 daripada Nur Azlan Azmi, 33, melalui akaun bank CIMB miliknya.

Ia adalah sebagai upah melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh sebagai ejen kerajaan Malaysia yang bertugas di Hospital Kajang, iaitu dengan memberikan kerja pengurusan jenazah terhadap enam jenazah individu berbeza dari Unit Forensik Hospital Kajang kepada Nur Azlan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Bercham, Taman Medan Bercham, antara 28 April 2020 hingga 5 Februari lalu.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan pilihan turut dibacakan bagi setiap enam pertuduhan berkenaan iaitu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pilihan yang dibacakan, Mohd Fariq sebagai penjawat awam menerima untuk diri sendiri suatu barang berharga iaitu wang tunai RM1,750 daripada Nur Azlan melalui akaun bank miliknya tanpa sebarang balasan, yang mana diketahui ia mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh sebagai penolong pegawai perubatan bagi kerja pengurusan jenazah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman, manakala tertuduh diwakili peguam peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh, sebelum mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dengan jumlah itu dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM, selain pasport milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu, mahkamah juga membenarkan untuk kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi menghadapi perbicaraan selanjutnya.

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts