fbpx

Siasatan pengambilan tanah PKNS Sungai Baru ditangguh tahun depan

Foto-Firdaus Latif

KUALA LUMPUR: Siasatan pengambilan tanah di flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru, Kampung Baru ditangguhkan ke tahun depan.

Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), berkata ia hasil rundingan bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL), pemaju dan pemilik lot atau flat PKNS Sungai Baru berhubung isu berkenaan.

Katanya, percaturan sedemikian dibuat bagi membolehkan rundingan antara pemaju dan pemilik flat PKNS Sungai Baru mencapai persetujuan sewajarnya.

“Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui PKB bertindak sebagai fasilitator bagi membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan semula ini selaras fungsinya yang dinyatakan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733).

“Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Shahidan Kassim) akan sentiasa berusaha untuk membantu bagi memastikan rundingan di antara pemaju dan pemilik lot atau flat terbabit berjalan dengan harmoni,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Isu pengambilan tanah Kampung Baru kembali hangat apabila kerajaan didakwa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) di kawasan ‘segi tiga’ emas di ibu kota itu untuk dimajukan dengan pampasan hanya RM400 setiap kaki persegi.

Rancangan pembangunan semula itu meliputi kawasan penduduk yang mendiami dua jenis kediaman, iaitu flat PKNS dan rumah di tanah persendirian.

Difahamkan, sebanyak 70 peratus pemilik di kawasan terbabit didakwa bersetuju dengan pembangunan semula kawasan berkenaan dan memberikan tandatangan.

Pada Ogos lalu, beberapa penduduk yang belum menurunkan tandatangan dilaporkan menerima notis siasatan mengikut Borang F, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang diminta hadir secara bergilir pada 23 hingga 26 Ogos lalu untuk diambil keterangan penilaian oleh PTG.

Penduduk rumah flat PKNS itu dikatakan, mendapat keputusan nilai pampasan antara RM200,000 hingga RM250,000.






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts