fbpx

Bekas pegawai bank dituduh terima wang RM3.41 juta hasil aktiviti haram

R. Ganesan dibawa ke mahkamah pada Isnin 13 Disember 2021.

BUTTERWORTH: Seorang bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan menerima wang tunai hasil aktiviti haram berjumlah RM3.41 juta pada 2017 hingga 2019. 

Tertuduh, R. Ganesan, 35, membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima sejumlah wang daripada 12 individu yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Wang yang diterima adalah dalam jumlah berbeza bagi setiap pertuduhan di antara RM20,000 hingga RM670,000 dan keseluruhannya berjumlah RM3.41 juta.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Taman Inderawasih, Perai dekat sini antara 22 Ogos 2017 sehingga 23 Oktober 2019.

Ganesan didakwa melakukan kesalahan itu di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam Pyara Singh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM140,000 manakala kes itu akan disebut semula pada 17 Januari depan.

Mengikut fakta kes, sepasang suami isteri telah membuat pelaburan pada Jun 2019 dengan seorang pegawai bank dengan tawaran pulangan 8.88 peratus bagi setiap enam bulan.

Mangsa telah dimaklumkan mereka boleh mengeluarkan wang dividen daripada pelaburan sebanyak RM716,000 namun pelaburan pokok hanya boleh dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, mangsa tidak pernah menerima pulangan dijanjikan dan pegawai bank tersebut dikatakan melakukan pengubahan wang haram menggunakan wang pelaburan mangsa.






Sumber: UTUSAN

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts