fbpx

Malaysia tidak iktiraf mata wang kripto – MOF

Gambar hiasan. Jaap Arriens | NurPhoto | Getty Images

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengiktiraf penggunaan mata wang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum sebagai mata wang yang sah diperlakukan untuk digunakan dalam urus niaga harian.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, berkata mata wang kripto juga bukan instrumen pembayaran yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) buat masa ini.

“Mata wang kripto tidak sesuai digunakan sebagai instrumen pembayaran disebabkan mata wang ini tidak menunjukkan ciri universal wang.

“Secara umumnya, mata wang kripto bukan penyimpan nilai dan medium pertukaran yang baik disebabkan keadaan mata wang kripto yang terdedah kepada turun naik harga yang tidak menentu dan pendedahan kepada ancaman siber dan kekurangan daripada segi boleh skala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang bertanyakan pendirian kerajaan berkenaan penggunaan mata wang kripto dalam urus niaga harian.

Mengulas lanjut, Yamani Hafez memaklumkan, aset digital itu dapat dikeluarkan oleh syarikat untuk tujuan pengumpulan dana.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada penerbit yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC), seperti diperuntukkan di bawah Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019.

Walaupun mata wang kripto tidak diiktiraf negara ketika ini, Yamani Hafez memaklumkan BNM serta bank pusat di beberapa negara lain sedang mengkaji kewajaran mengeluarkan mata wang digital bank pusat (CBDC).

Katanya, ia berikutan landskap pembayaran dan mata wang kripto yang cepat berubah, selain kemajuan teknologi dan kadar pendigitalan yang semakan pesat mendorong peningkatan penggunaan pembayaran secara digital.

“Pada masa ini, BNM belum memutuskan bagi mengeluarkan CBDC dalam masa terdekat.

“Di Malaysia, sistem pembayaran domestik, termasuk Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (RPP) terus beroperasi dengan selamat dan cekap untuk menyokong keperluan ekonomi, sekali gus membolehkan pembayaran digital masa nyata.

“Selain itu, sistem kewangan di Malaysia terus menyokong fungsi ekonomi di samping memenuhi keperluan individu dan perniagaan.

“Namun begitu, BNM akan terus menilai secara aktif potensi CBDC untuk mencapai objektif dasar awam,” katanya.






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts