fbpx

Bot karam: 14 PATI negatif, dua lagi mayat ditemukan

KOTA TINGGI: 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terselamat dalam insiden bot karam di perairan Tanjung Balau, dekat sini semalam, disahkan negatif Covid-19.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, keputusan itu hasil saringan yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) Sungai Rengit, semalam.

“Keputusan ujian saringan Covid-19 terhadap 14 mangsa yang selamat adalah negatif.

“Justeru, difahamkan kesemua mereka yang sebelum ini ditahan di Pos Tanjung Sepang  diserahkan kepada Jabatan Imigresen,” katanya di sini, hari ini.

Kesemua mangsa yang terselamat terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita yang berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 50 tahun.

IMG-20211216-WA0004
Kepten Simon Templer Lo Ak Tusa

Sementara itu, dua lagi mayat mangsa dijumpai menjadikan jumlah terkini mereka yang terkorban dalam insiden itu seramai 18 orang.

Simon berkata, kedua-dua mayat berkenaan adalah lelaki yang dijumpai pada pukul 10 pagi tadi.

“Mayat pertama ditemukan pada jarak 100 meter dari pangkalan hadapan carilamat (PHC), manakala mayat kedua ditemui 280 meter dari PHC,” katanya.

Katanya penemuan dua mayat itu sekali gus menjadikan jumlah mayat yang berjaya dijumpai pada pagi ini seramai tujuh orang termasuk lima yang ditemukan awal pagi ini.





Sumber: UTUSAN ONLINE 

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts