fbpx

Harta Sajat dilelong semula

Sebahagian pembida yang hadir pada proses lelongan aset Sajat di Selangor Polo Residency, Kota Damansara pada Rabu, 15 Disember 2021. FOTO: AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR: Lelongan harta dan barang usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat, akan diaturkan semula, susulan pemenang bidaan harta berkenaan menghilangkan diri semalam.

Peguam, Nurul Hafidzah Hassan, berkata pihaknya akan mendapat tarikh baharu sesi lelongan itu dalam masa terdekat ini.

“Kita aturkan sesi lelongan baharu selepas mengadakan perbincangan dengan pihak mahkamah.

“Sebaik terima tarikh baharu, kita akan maklumkan kepada pihak media. Setakat ini, kita belum bincang perkara lain (failkan kes menghina mahkamah berikutan tindakan pembida mempermain proses lelongan) kerana sibuk dengan proses lelongan itu,” katanya kepada BH, hari ini.

Ditanya prosedur lelongan akan berubah selepas kejadian pembida menghilangkan diri, Hafidzah berkata, tiada syarat lelongan termasuk meletakkan deposit wang tunai RM5,000 ditukar pada masa ini.

“Sama sahaja dan ikut prosedur biasa ketika ini. Sebelum ini, deposit RM5,000, berubah atau tidak bergantung kepada mahkamah selepas ini.

“Semua pihak yang mahu menyertai lelongan itu kena bersedia pengisytiharan jualan dikeluarkan pihak berkaitan,” katanya.

Semalam, media melaporkan pemenang yang menghilangkan diri selepas memenangi bidaan harta mudah alih usahawan kosmetik itu disahkan sebagai pembantu peribadi seorang lagi usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri.

Antara pembida yang hadir pada proses lelongan aset Sajat di Selangor Polo Residency, Kota Damansara. – FOTO: AFIQ RAZALI

Mohammad Syazwan memenangi bidaan barang di kediaman Sajat pada harga RM132,000 daripada keseluruhan lapan pembida yang mengambil bahagian dalam proses lelongan awam berkenaan.

Antara barang termahal yang dilelong ialah piano bernilai RM40,000 dan termurah set pembakar roti, selain beberapa barang lain iaitu sofa, penghawa dingin, mesin basuh, peti sejuk, almari pakaian, set bilik tidur dan televisyen.

Lelaki itu dikatakan menghilangkan diri apabila tidak dapat dihubungi oleh pihak peguam, selepas keluar dengan memberikan alasan untuk menguruskan bank draf.

Proses lelongan itu dikira terbatal berikutan kegagalan lelaki itu membuat bayaran selepas jam 4.10 petang.

Satu tarikh lelongan baru akan dikemuka oleh firma guaman NHA Advocates & Solicitors di mahkamah bagi membolehkan bayaran Sajat kepada bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle miliknya, OWA Resourses Sdn Bhd, dapat diselesaikan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu membenarkan harta Sajat disita dan dilelong susulan gagal membayar pampasan kepada OWA Resources.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak plaintif menuntut pampasan RM183,000 yang gagal dibayar oleh Sajat melalui proses penyitaan itu.




Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts