fbpx

Pasangan suami isteri dalangi geng pecah rumah, curi kereta tumpas

Mohd. Zaid (tengah) menunjukkan antara kenderaan mewah yang berjaya dirampas daripada suspek ketika sidang akhbar, hari ini.

KAJANG – Seramai empat individu, termasuk pasangan suami isteri, yang mendalangi kumpulan jenayah pecah rumah dan menyamun dikenali Geng Apil ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan polis berkenaan kes pecah rumah dan melarikan kenderaan di Taman Hijau, di sini, pada 4 Disember lalu daripada seorang lelaki seorang lelaki berusia 34 tahun.

Katanya, lelaki tersebut hanya menyedari kejadian ketika memasuki rumahnya yang dalam keadaan berselerak dan dua buah kereta Toyota Alphard dan Toyota Yaris miliknya dilarikan pencuri.

“Di dalam kejadian ini, pintu rumah masuk utama pengadu telah dibuka menggunakan peralatan alat kawalan jauh pintu pagar elektronik sebelum pintu masuk rumah diumpil suspek dan disamun dan kenderaan mewah dilarikan.

“Mangsa telah mengalami kerugian dua buah telefon bimbit jenis iPhone, dokumen pengenalan diri dan milik keluarga, wang tunai, kad debit bank serta sekeping loket emas,” katanya pada sidang media, hari ini.

Bertindak atas maklumat, tambah Mohd Zaid, sepasukan polis dari Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Kajang telah menyiasat, menjejaki dan menahan empat suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 29 hingga 45 tahun.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan barang yang dicuri iaitu pelbagai anak kunci kenderaan termasuk alat kawalan jauh pintu pagar, enam telefon bimbit, sebuah komputer riba serta tujuh dokumen iaitu kad pengenalan, lesen memandu dan kad debit bank milik mangsa.

Menurut Mohd Zaid, hasil pandu arah salah seorang suspek membawa polis ke kawasan parkir kenderaan, Pangsapuri Jubli Perak di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, dekat sini, yang menemukan dua buah kenderaan mewah milik mangsa.

“Rentetan rampasan pertama, soal siasat lanjut didapati suspek mengaku telah turut terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah dan melarikan kenderaan di sekitar negeri Selangor, Kuala Lumpur dan negeri pantai timur Pahang, Terengganu dan Kelantan pada awal tahun ini dan mereka bergiat aktif dalam kegiatan jenayah pecah rumah selama dua tahun.

“Pemeriksaan lanjut dengan dipandu arah suspek, polis akhirnya berjaya menemui semula lapan buah kenderaan curi keseluruhannya iaitu Honda Civic, Range Rover, Toyota Vios, Camry, Nissan Almera dan Perodua Alza,” ujar.

Mohd Zaid berkata, Geng Apil menyamun dan melarikan kenderaan mewah berdasarkan permintaan pelanggannya.

“Apabila ada permintaan kereta mewah maka sindiket ini akan mementau dan mensasarkan rumah mewah yang memiliki kenderaan mahal sebelum terlibat dalam jenayah pecah rumah menggunakan alat kawalan jauh pintu automatik untuk membuka gate besar rumah mangsa,” jelasnya.

Tambah beliau, suspek utama memiliki 22 rekod jenayah dan dadah manakala dua lagi suspek mempunyai 24 rekod jenayah lampau kecuali isteri suspek utama.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman sehingga 24 Disember ini untuk membantu siasatan.




Sumber: MalaysiaGazette

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts